Kredit Gambar: Majlis Olimpik Malaysia
Malaysia bakal mencatat satu lagi sejarah dalam arena sukan antarabangsa apabila dipilih secara sebulat suara sebagai tuan rumah Perhimpunan Agung Persatuan Sukan Perpaduan Islam (ISSA) ke-16 pada 2027.
Keputusan itu dibuat pada Perhimpunan Agung ISSA ke-15 yang berlangsung di Taif, Arab Saudi, Sabtu lalu dengan penyertaan delegasi daripada 53 daripada 57 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) yang bernaung di bawah ISSA.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia membuktikan keyakinan ISSA terhadap kemampuan negara mengendalikan program dan acara bertaraf antarabangsa.
Beliau yang turut memegang jawatan Presiden Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dan Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Zon Asia Tenggara berkata, MOM akan berganding bahu dengan kerajaan bagi memastikan penganjuran itu berjalan lancar.
Perhimpunan berkenaan dirasmikan Presiden ISSA, Putera Abdulaziz bin Turki Al Faisal yang juga Presiden Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Arab Saudi (SOPC) serta Menteri Sukan Arab Saudi.
Dalam perkembangan sama, Mohamad Norza turut dilantik sebagai anggota Lembaga Eksekutif ISSA bagi penggal 2026 hingga 2029 dengan tanggungjawab sebagai wakil Jawatankuasa Penganjuran Sukan Malaysia 2029.
Perhimpunan itu turut menjadi platform untuk NOC Malaysia bersama Kerajaan Negeri Sarawak berkongsi perkembangan terkini persiapan bagi penganjuran Sukan Perpaduan Islam ke-7 pada 2029.
Pembentangan tersebut disampaikan bersama Mohamad Norza, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Hii Chang Kee.
Selain itu, ISSA, MOM dan Kerajaan Negeri Sarawak turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama ketiga-tiga pihak serta menyediakan asas kepada persiapan temasya 2029, tertakluk kepada pengesahan rasmi Kerajaan Negeri Sarawak berhubung penganjurannya.