Kredit Gambar: Oli Scarff/AFP

Kuartet 4×200 meter (m) gaya bebas lelaki Malaysia memastikan kem renang negara tidak pulang hampa apabila berjaya melangkah ke final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas mencatat masa 7 minit 22.05 saat (s) dalam saingan saringan hari ini.

Kuartet yang diketuai Khiew Hoe Yan bersama Ananda Lim, Jaydan Tan dan Arvin Shaun Singh Chahal itu menduduki tempat ketiga dalam Saringan 2 di belakang China yang merekodkan 7:11.70s dan Jepun dengan 7:13.02s.

Catatan berkenaan turut meletakkan Malaysia di kedudukan kelima keseluruhan sekali gus melayakkan kuartet negara beraksi dalam final yang dijadualkan berlangsung malam ini.

Walaupun gagal memecahkan rekod kebangsaan yang dimiliki kuartet Hoe Yan, Terence Ng, Ananda dan Arvin, peluang beraksi di pentas akhir memberikan ruang buat kuartet negara memperbaiki catatan mereka.

Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa Andrew Goh apabila pemegang rekod kebangsaan itu gagal melayakkan diri ke final 100m kuak dada lelaki.

Andrew hanya mencatatkan masa 1:03.50s dalam Saringan 3 untuk berada di kedudukan ke-23 keseluruhan. Catatan tersebut jauh daripada rekod kebangsaannya 1:01.39s yang dilakukan pada Sukan Malaysia (Sukma) bulan lalu.

Shin Ohashi dari Jepun muncul perenang terpantas daripada Saringan 3 dengan catatan 59.38s, diikuti Choi Dong Yeol dari Korea Selatan dengan 59.53s, manakala wakil Hong Kong, Adam Mak Sai Ting turut mengesahkan tempat ke final selepas merekodkan 1:00.25s.

Malaysia turut gagal menghantar wakil ke final 50m gaya bebas lelaki selepas Ananda dan Tong Yu Jing tidak berjaya melepasi peringkat saringan.

Ananda merekodkan 23.16s untuk menduduki tempat ketujuh Saringan 3, manakala Yu Jing tidak memulakan perlumbaan (DNS). Secara keseluruhan, Ananda berada di kedudukan ke-24 daripada 48 perenang.

Sementara itu, Kim Young Beom dari Korea Selatan mencuri perhatian dalam acara berkenaan apabila merekodkan masa terpantas 21.71s, sekali gus mencipta rekod baharu temasya. Catatan itu memadam rekod lama 21.72s milik Ji Yu Chan yang dilakukan pada Sukan Asia Hangzhou 2022.