MANGSA gangguan seksual oleh jurulatihnya, sudah kembali ke pangkuan skuad berbasikal bukit (MTB) kebangsaan untuk menjalani latihan sebagai persiapan ke Sukan Sea Kemboja, Mei depan.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, pelumba terbabit menjalani latihan bersama rakan sepasukan di bawah kendalian jurulatih sementara Nor Alfizar Othman.

Menurut Amarjit, jurulatih yang didakwa melakukan gangguan seksual itu kini digantung tugasnya dan diketepikan sehingga siasatan selesai.

Artikel Berkaitan:  Gangguan seksual : PKBM gantung tugas jurulatih berbasikal wanita kebangsaan

“Pelumba itu sudah tiba di Kuala Lumpur semalam (Isnin) dan memulakan latihan bersama skuad kebangsaan di Nilai, hari ini.

“Kami sudah bercakap dengan pelumba itu dan dia bertekad untuk membantu pasukan negara mempertahankan pingat emas (yang dimenangi di Sukan Sea Hanoi, tahun lalu) pada Sukan Sea Kemboja (5 hingga 17 Mei).

“Pelumba itu juga menjalani prosedur kaunseling dan kebajikan serta keselamatannya kini menjadi keutamaan kami.

“Dia bersama rakan sepasukan yang lain akan berlatih di bawah bimbingan jurulatih wanita.

Artikel Berkaitan: Sharon terkejut, gesa lindungi atlet mangsa gangguan seksual

Artikel Berkaitan: Gangguan seksual : Jurulatih berbasikal kebangsaan letak jawatan

Artikel Berkaitan: Wanita bakal ketua jurulatih berbasikal bukit kebangsaan

“Kami meminjam Alfizar dari MSN Kedah dan dia akan membantu mempersiapkan pasukan sehingga Sukan SEA nanti, kata Amarjit ketika ditemui selepas mesyuarat bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail di Bukit Jalil.

Sementara itu, pengurus MTB negara, Mohd Saiful Abdul Jalil, berkata walaupun berlaku perubahan jurulatih namun sasaran pasukan negara tetap kekal untuk membawa pulang satu pingat emas dari Kemboja.

“Program latihan buat pelumba mungkin akan ada perubahan sedikit dengan kehadiran Alfizar sebagai jurulatih sementara. Namun, sasaran kita tetap sama untuk memenangi satu emas dan saya percaya pelumba negara menyesuaikan diri dengan kehadiran Alfizar memandangkan dia adalah jurulatih terbaik yang kita ada sekarang ini,” katanya.