SKUAD Harimau Malaya bersedia tempur dalam misi menghadapi FIFA ASEAN Cup 2026 dengan barisan pemain negara kini berada pada tahap keyakinan tinggi untuk menggalas cabaran di pentas antarabangsa.
Pemain sayap negara, Faisal Halim berkata setiap perlawanan bersama skuad kebangsaan menjadi medan penting untuk meningkatkan keyakinan dan membina persediaan menghadapi cabaran lebih besar.
“Ini adalah satu pelajaran yang terbaik untuk pasukan kebangsaan juga ataupun kita nak hadapi peringkat-peringkat ataupun perlawanan-perlawanan yang tertinggi ke depan,” kata Faisal Halim.
Faisal berkata pengalaman beraksi dalam suasana berintensiti tinggi termasuk di Stadium Gelora Bung Karno mampu membantu pemain negara membiasakan diri dengan tekanan di pentas antarabangsa.
“Ini adalah permulaan kita, persiapan kita untuk pasukan kebangsaan, kita pergi untuk game by game, beri yang terbaik untuk pasukan kebangsaan lah.
“Kita dah matang, kita dah profesional, apa-apa provokasi ataupun lontaran-lontaran oleh pihak penyokong di sana kepada kita, kita sebagai pemain kena hadap, kuatkan mental dan fizikal, bersedia untuk perlawanan menentang Indonesia,” ulas Faisal Halim mengenai provokasi penyokong pihak lawan.
Menurut Faisal, kekuatan mental dan fizikal amat penting buat skuad negara bagi menghadapi saingan FIFA ASEAN Cup 2026 yang bakal berlangsung.
Faisal yang kini berada dalam momentum positif bersama kelab turut menyifatkan peningkatan keyakinan dirinya sebagai satu dorongan untuk membantu Harimau Malaya memberikan persembahan terbaik.
Bagaimanapun, pemain itu menegaskan sasaran peribadinya bukan untuk mengejar jaringan atau bantuan gol, sebaliknya kemenangan pasukan menjadi keutamaan dalam setiap perlawanan.
Malaysia selepas ini akan membuka kempen FIFA ASEAN Cup 2026 menentang Bangladesh pada 25 September di Stadium Gelora Bung Karno sebelum berdepan Indonesia pada 28 September dan Singapura pada 1 Oktober.