Kredit Gambar: World Squash
S. Sivasangari meneruskan cabaran mempertahankan kejuaraan perseorangan wanita Sukan Asia selepas pemain nombor lima dunia itu mara ke separuh akhir Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Pemain negara itu menampilkan aksi kemas di Arena Nagoya Kinjo Futō untuk menewaskan wakil Hong Kong, Ho Tze Lok, 11-8, 11-7, 11-8, sekali gus memastikan tempat dalam kelompok empat terbaik.
Kemenangan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila Sivasangari mengakui menjangkakan perlawanan yang lebih sengit berbanding aksi sebelumnya.
“Saya menjangkakan perlawanan yang jauh lebih sengit berbanding semalam. Saya rasa tidak mempamerkan permainan terbaik, tetapi berjaya mencari jalan untuk menang,” katanya selepas perlawanan.
Sivasangari kini bakal berdepan satu lagi wakil Hong Kong, Chan Sin Yuk, yang terlebih dahulu menyingkirkan pemain Malaysia, Aira Azman, dalam satu lagi aksi suku akhir.
Chan menewaskan Aira menerusi pertarungan empat permainan, 10-12, 11-9, 11-5, 11-9 untuk menempah pertemuan dengan Sivasangari di separuh akhir.
Sementara itu, Malaysia turut mempunyai wakil dalam acara beregu campuran apabila gandingan C. Ameeshenraj-Rachel Arnold mara ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Oh Seojin-Heo Mingyeong, 11-8, 11-9.
Ameeshenraj-Rachel seterusnya akan berdepan pasangan Hong Kong, Lai Cheuk Nam-Tse Yee Lam, bagi merebut tiket ke final.
Bagaimanapun, satu lagi gandingan negara, Mohammad Syafiq Mohd Kamal-Aifa Azman, terkandas di suku akhir selepas tewas 7-11, 5-11 kepada pasangan Hong Kong, Lee Ka Yi-Tang Ming Hong.
Sivasangari kini hanya dipisahkan dua kemenangan daripada mempertahankan emas perseorangan wanita yang dimenanginya pada edisi Sukan Asia sebelum ini.