Kredit Gambar: AHF

The Speedy Tigers mempamerkan kebangkitan cukup membanggakan untuk meneruskan rentak cemerlang dengan menewaskan Pakistan 5-4 pada aksi keempat Kumpulan B Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 hari ini.

Lebih manis, kejayaan ini turut mengukir sejarah buat The Speedy Tigers apabila mereka menamatkan penantian untuk menewaskan Pakistan dalam perlawanan masa penuh di pentas Sukan Asia, semenjak temasya ini diperkenalkan.

Kali terakhir Malaysia mencatat kemenangan ke atas Pakistan di Sukan Asia adalah pada edisi 2002 di Busan, menerusi kemenangan 4-2 dalam penentuan shoot-out selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1, sekali gus menyaksikan Malaysia membawa pulang pingat gangsa.

Tiga mata yang diraih turut meletakkan sebelah kaki Malaysia di pentas separuh akhir. Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan berbangga dengan semangat dan kekuatan mental yang cukup tinggi dipamerkan para pemain dalam aksi di Stadium Kawasaki Juko, Kakamigahar itu.

“Saya sangat gembira kerana saya fikir kami tidak beraksi baik dalam suku masa ketiga dan keempat. Ia agak mengecewakan apabila kami masih lepaskan gol PC (pukulan sudut penalti) selepas bekerja keras dari segi pertahanan PC.

“Namun, saya sangat bangga dengan pemain kerana mereka begitu kental untuk bangkit dan meraih keputusan seperti ini walaupun kami tidak bermain baik seperti yang sepatutnya di dua suku masa terakhir permainan.

Pakistan diakui amat berbahaya melalui PC yang menyaksikan Sufyan Khan berjaya meledak empat gol daripada situasi itu pada minit ketiga, m-39, m-43 dan m-46.

Empat gol itu membolehkan Pakistan yang berada di ranking lebih tinggi iaitu No.12 dunia, mendahului 4-3 selepas Speedy Tigers meraih tiga gol menerusi Shello Silverius pada minit kelima, Faizal Saari (m-23) dan Fitri Saari (m-45).

Semangat tidak mudah mengalah antara kunci utama kejayaan Malaysia apabila bangkit memenangi perlawanan 5-4 dengan dua gol pantas dalam tempoh seminit, sekali lagi menerusi Shello dan Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-56 serta 57.

Speedy Tigers selepas ini hanya perlu mengelak daripada tewas kepada China dalam aksi terakhir Kumpulan B pada 28 September ini untuk mengesahkan slot ke separuh akhir.

“China adalah pasukan yang bagus. Sudah tentu, mereka pernah memberikan kami beberapa keputusan mengecewakan dalam tempoh empat atau lima tahun kebelakangan ini.

“Jadi, kami perlu membuat persiapan yang rapi untuk menghadapi mereka dan menguruskan permainan mereka seperti yang kami lakukan terhadap setiap pasukan yang kami hadapi.

“Sekali lagi, kami mahu memenangi setiap perlawanan dan menamatkan saingan di tempat teratas kumpulan,” jelas Carolan.