KETUA jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh Kundan, menegaskan disiplin dan corak permainan kemas menjadi kunci kejayaan Malaysia menundukkan China 2-0 dalam aksi Kumpulan Super Four Piala Asia 2025 semalam.

“Bagi saya, anak buah saya bermain dengan corak permainan yang bagus seperti dirancang kerana kita tahu pasukan China sangat bagus dengan serangan balas, namun kami tidak memberi peluang kepada mereka,” katanya selepas perlawanan.

Sarjit menjelaskan, strategi mengekalkan disiplin sambil menunggu ruang serangan nyata berhasil apabila pasukan lawan gagal menembusi benteng negara.

“Kami dapat mengekalkan corak permainan yang disiplin sambil menunggu peluang untuk menyerang,” tambahnya.

Beliau dalam masa sama menekankan kepentingan mengekalkan intensiti tinggi ketika bertemu pasukan berkualiti seperti China.

“Mereka perlu bermain dengan tempo tinggi, tidak boleh hanya berada dalam kawasan D, dan sentiasa melakukan cucukan ketika bertahan. Walaupun pemain buat kesilapan, reaksi mereka selepas itu lebih penting,” ujarnya.

Dengan jadual padat, Sarjit mengingatkan pemain agar tidak mengabaikan faktor rehat bagi memastikan konsistensi prestasi sepanjang kejohanan.

“Paling penting sekali pemain perlu mendapatkan rehat yang secukupnya. Saya selalu nasihatkan, bermain empat perlawanan dalam lima hari memang sangat mencabar, terutamanya selepas aksi sengit seperti malam ini,” jelasnya.

Kemenangan ini bukan sahaja menyuntik keyakinan, malah memberi momentum berharga buat skuad negara untuk terus melangkah lebih jauh dalam kejohanan.