Ketua jurulatih PSM-SSM Mavericks, Azmi Ghani, mahu barisan pemainnya menjadikan pengalaman beraksi di pentas STL 2026 Divisyen 1 sebagai bekalan penting untuk perkembangan karier mereka.

PSM-SSM Mavericks menamatkan kempen dalam Kumpulan C selepas mengalami dua kekalahan, masing-masing kepada Bomba Fighters 6-15, 10-15 semalam dan Terengganu Turtles 15-9, 7-15, 3-15, hari ini.

Biarpun gagal melakar kemenangan, Azmi menyifatkan pengalaman beraksi dalam saingan Divisyen 1 sebagai sesuatu yang amat bernilai buat pemainnya, terutama majoriti daripada mereka yang pertama kali beraksi di pentas berkenaan.

“Seperti semua maklum, kita berdepan pasukan-pasukan yang hebat dalam Divisyen 1. Jadi bagi saya, mereka perlu menikmati permainan dan jangan terlalu fikir siapa lawan kita.

“Yang penting, mereka bermain dengan cara sendiri. Ini adalah pentas yang sangat besar untuk mereka dan majoriti pemain kali pertama bermain di pentas ini.

“Bagi saya, kalau mereka dapat memberikan saingan pun sudah cukup baik,” katanya.

Zamy Khussry

Azmi turut menaruh kepercayaan terhadap pemain muda dalam skuadnya, termasuk tekong berusia 17 tahun, Zamy Khussry, yang diturunkan dalam aksi menentang Bomba Fighters semalam.

Katanya, peluang untuk mengetengahkan Zamy di pentas lebih tinggi amat bermakna, khususnya kerana pemain berkenaan merupakan daripada komuniti Orang Asli.

“Yang paling muda dalam pasukan ialah Zamy Khussry, berusia 17 tahun dan merupakan tekong yang bermain semalam.

“Saya suka kerana dia daripada komuniti Orang Asli dan kita dapat mengetengahkannya ke tahap sebegini.

“Semua sedia maklum sebelum ini, pemain yang kita ada di Sekolah Sukan Malaysia bukanlah daripada kelompok terbaik kerana pemain terbaik sudah diambil oleh pasukan lain.

“Jadi daripada pihak pengurusan, siapa pun pemain yang kita bawa, kita tetap yakin dengan kemampuan mereka,” katanya.

PSM-SSM Mavericks yang mengumpul dua kekalahan dalam Kumpulan C tidak lagi mempunyai peluang untuk meneruskan cabaran, sekali gus menamatkan perjalanan mereka dalam STL 2026 Divisyen 1.