PERSATUAN Ping Pong Malaysia (TTAM) kini di peringkat rundingan, memanggil pulang bekas pemain kebangsaan, Ashraf Haiqal Rizal dalam usaha memperkuat barisan pelapis negara.
Pengerusi Jawatankuasa Para, TTAM, Dr Syarizal Ab Rahim berkata, khidmat Ashraf diperlukan berikutan persatuan itu kekurangan jurulatih, dan hal itu sudah dipersetujui Majlis Sukan Negara (MSN).

Atlet dan pegawai ping pong para negara menggalas cabaran di Para Asian, Hangzhou, Oktober lalu.
“Sekarang kita hanya mempunyai seorang jurulatih sepenuh masa (Mohd Shakirin Ibrahim) manakala seorang lagi jurulatih di bawah Jabatan Belia dan Sukan.
“Pada perbincangan tadi, Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub bersetuju dengan rancangan kita menambah jurulatih, iaitu jurulatih tempatan yang kini berkhidmat dengan kelab di Arab Saudi.
“Kini kita di peringkat proses negosiasi untuk mencapai persetujuan mengenai penggajian, kita akan melihat semua polisi sedia ada,” kata Syarizal, selepas mesyuarat jawatankuasa kerja sukan (JKKS), di pejabat MSN, Bukit Jalil.

Pengerusi Jawatankuasa Para, TTAM, Dr Syarizal Ab Rahim masih berurusan dengan Ashraf Haiqal bagi mendapatkan kata sepakat.
Menurutnya, secara verbal, Ashraf bersetuju dengan pakej yang ditawarkan meskipun tidak menyamai bayaran diperolehinya di kelab Arab Saudi, iaitu dalam mata wang dolar.
“Namun, pada perbincangan hari ini, MSN menawarkan bayaran lebih rendah kira-kira kurang 5 peratus daripada sebelumnya, jadi saya akan kembali berbincang dengan Ashraf.
“Sebelum ini, kita juga menawarkan kebebasan kepada Ashraf untuk menambah pendapatan dengan menjadi jurulatih kelab ping pong yang memerlukan jurulatih pada hujung minggu.”
Pada 2021, Ashraf, 29, bersara dari skuad kebangsaan, bergerak secara profesional ke Arab saudi, menyertai kelab ping pong Al Fateh, sebelum menjadi jurulatih di sana.
Mengulas mengenai perancangan TTAM bagi kalendar 2024, beliau berkata, tiga kejohanan menjadi tumpuan.
Ini berikutan sudah terlambat buat atlet ping pong para negara mengejar mata kelayakan ke Olimpik Paris.

Aksi skuad negara di Para Asian, Hangzhou, China.
Menurutnya, empat atlet podium dan empat lagi pelapis akan dihantar menyertai Kejohanan Ping Pong Para Fa20 Al-Watani di Jordan pada 20 hingga 24 April, Kejohanan Para Fa20 Terbuka New Taipei City di Taiwan pada 16 hingga 19 Julai dan Kejohanan Para Fa20 Terbuka Saudi di Riyadh, pada 21 hinga 24 Oktober.
“Kita menyertai kejohanan-kejohanan itu bagi mendapatkan mata untuk mendapatkan ranking dunia.
“Perancangan menghantar atlet kita ke tiga kejohanan ini adalah bertujuan mempersiapkan pasukan ke Para Asian di Nagoya, Jepun 2026.
“Sebab itu kita merancang menghantar empat atlet dari program podium manakala empat lagi pelapis.
“Malah, ini adalah kali pertama kita bakal menghantar dua atlet berkerusi roda kerana kita mahu dedahkan mereka di peringkat antarabangsa,” kata Syarizal lagi.