Skuad badminton remaja Malaysia menempah tiket ke final acara berpasukan campuran Kejohanan Remaja Dunia selepas menewaskan juara dua kali, Indonesia, 2-0 di Stadium Antarabangsa Kaherah, Mesir, malam tadi.

Kemenangan itu hadir menerusi format relay 55 mata apabila Malaysia mencatat keputusan 55-49 dan 55-42, sekali gus menamatkan cabaran Indonesia yang juga naib juara edisi tahun lalu.

Kejayaan tersebut turut menyaksikan Malaysia kembali ke pentas final buat kali pertama sejak edisi 2017 di Yogyakarta, Indonesia.

Dalam perlawanan pertama, Malaysia bermula dengan langkah kurang meyakinkan apabila Tiew Wei Jie tewas 6-11 kepada Fardhan Rainanda dalam acara perseorangan lelaki.

Bagaimanapun, Genevie Lim-Low Zi Yu menghidupkan peluang negara apabila memenangi acara beregu wanita 22-17 ke atas Atresia Naufa-Aurelia Syakira.

Indonesia kembali mendahului menerusi Jolin Angelia yang menewaskan Carine Tee 33-32 dalam perseorangan wanita, namun Ahmad Redzuan-Zi Yu berjaya mengembalikan kelebihan Malaysia kepada 44-43 menerusi beregu campuran.

Gandingan Damien Ling-Irfan M Shazmir kemudian memastikan kemenangan pertama Malaysia apabila menutup saingan dengan keputusan 55-49 selepas mengatasi Faizal Pangetsu-Anju Siahaan.

Memasuki perlawanan kedua, Malaysia tampil lebih agresif apabila Wei Jie membuka laluan dengan kelebihan 11-7 sebelum Genevie-Low Zi Yu melebarkan jurang kepada 22-11.

Indonesia cuba merapatkan kedudukan menerusi perseorangan wanita sehingga menjadikan mata 33-28, namun Ahmad Redzuan-Zi Yu memastikan Malaysia terus berada di hadapan dengan kelebihan 44-37.

Gandingan Isyraf Hafizin-Ahmad Redzuan akhirnya menyempurnakan tugas dengan kemenangan 55-42 ke atas Faizal-Anju, sekali gus mengesahkan kemaraan Malaysia ke final menerusi kemenangan 2-0.

Malaysia kini bakal berdepan China dalam aksi final yang dijadual berlangsung malam ini, dengan peluang untuk menamatkan kemarau kejuaraan acara berpasukan campuran menjadi taruhan skuad muda negara.