STATUS beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam program Road To Gold (RTG) tidak akan terjejas meskipun pasangan itu dipisahkan susulan penstrukturan semula yang sedang dilakukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata program RTG memberi tumpuan kepada kemampuan dan prestasi atlet, bukan semata-mata berdasarkan gandingan yang dibentuk ketika ini.

“Kita melihat bahawa yang paling penting adalah atlet itu sendiri, bagaimana kemampuan dan kebolehannya kerana RTG berdasarkan atlet itu sendiri.

“Sudah pasti apabila ada penstrukturan, maka di peringkat RTG atau Jawatankuasa RTG juga kita akan membincangkan perkara tersebut,” katanya.

Menurut beliau, isu berkenaan akan dibawa ke mesyuarat RTG bagi membolehkan penilaian semula dilakukan berdasarkan perkembangan terkini dalam skuad beregu lelaki negara.

Taufiq turut menegaskan perubahan pasangan tidak menjejaskan kedudukan Aaron dan Wooi Yik dalam program berprestij itu buat masa ini, namun sebarang perubahan ranking dunia susulan penstrukturan berkenaan akan diteliti Jawatankuasa RTG sebelum keputusan lanjut dibuat.