Skuad hoki remaja negara, Young Tigers, mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala Sultan Johor 2026 selepas menewaskan Pakistan 3-2 dalam aksi peringkat kumpulan yang berlangsung sengit.
Malaysia memulakan perlawanan dengan baik apabila Naaveenesh Panicker meletakkan pasukan di hadapan menerusi jaringan padang pada minit ke-21.
Bagaimanapun, Pakistan bangkit menyamakan kedudukan menerusi Ade el pada minit ke-36 sebelum pemain itu sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-43 untuk meletakkan pasukannya mendahului 2-1.
Young Tigers enggan mengalah dan kembali menghidupkan peluang apabila Safwan Salihe menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-55.
Naaveenesh kemudian memastikan kemenangan menjadi milik Malaysia apabila meledak gol keduanya pada minit ke-57, sekali gus melengkapkan kebangkitan Young Tigers untuk menang 3-2.
Perlawanan itu turut menyaksikan insiden kekasaran apabila pemain Pakistan, Rana Waleed, dilayangkan kad merah pada minit ke-51 selepas menyiku muka pemain Malaysia, Harieq Hadief.
Kad merah itu mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi yang pertama dilayangkan sepanjang penganjuran Piala Sultan Johor.
Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia sudah mengesahkan kemaraan ke final walaupun masih mempunyai satu lagi perlawanan kumpulan menentang Kanada pada Jumaat ini.
Sementara itu, Pakistan dan Jepun akan bertarung sesama sendiri bagi merebut satu lagi slot ke perlawanan akhir, dengan keputusan pertemuan itu bakal menentukan pasukan yang akan menyertai Malaysia di pentas kemuncak.