Speedy Tigers mempamerkan rentak dominan dalam kemenangan 3-1 ke atas Korea Selatan pada aksi kedua Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Punjab, India hari ini.
Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan gembira dengan keseluruhan prestasi anak-anak buahnya yang berjaya mengawal permainan selain turut memperlihatkan peningkatan dari segi aspek tertentu dalam perlawanan tersebut.
“Saya gembira untuk pemain-pemain dan saya fikir kami mempamerkan aksi yang terkawal. Secara keseluruhan, saya berpendapat kami menunjukkan prestasi yang agak baik.
“Saya rasa kelebihan kami dari segi serangan pukulan sudut penalti (PCA) dan ketika bertahan pukulan sudut penalti (PCD) juga lebih baik hari ini. Jadi, saya cukup berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pasukan,” katanya.
Dalam aksi itu, Speedy Tigers membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi tampanan Azimuddin Syakir Kamaruddin.
Korea Selatan menyamakan kedudukan pada minit ke-31 menerusi Song Haeseong, namun ia cuma bertahan lima minit sebelum Akhimullah Anuar Esook menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk meledak gol kedua buat Malaysia.
Gol padang yang menarik daripada Faizal Saari pada minit ke-50 memastikan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan mengawal sepenuhnya aksi itu untuk mencatat kemenangan 3-1.
“Saya rasa Korea telah melakukan tugas yang baik dengan membawa masuk beberapa pemain muda untuk membangunkan bakat mereka. Jadi, saya gembira apabila kami berjaya memperoleh keputusan yang diharapkan,” jelas Carolan.
Sementara itu, Carolan menuntut barisan pemainnya agar mengekalkan momentum sama apabila turun menentang Bangladesh dalam aksi ketiga kejohanan esok.
Beliau tidak mahu anak-anak buahnya mengambil mudah kemampuan Bangladesh meskipun rekod pertemuan memihak Malaysia yang tidak pernah tewas dalam lima perlawanan menentang lawan tersebut.
“Kami perlu menghormati setiap pasukan. Bangladesh mempunyai beberapa situasi pukulan sudut penalti serta pemain individu yang perlu diberikan perhatian.
“Jadi, kami tidak boleh terlalu bergantung pada keputusan perlawanan terdahulu. Kami hanya perlu memastikan tugas diselesaikan dengan baik esok sebelum mendapat sehari untuk berehat dan memulihkan kecergasan,” katanya.