Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang mendapat suntikan kekuatan menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Jeonbuk Hyundai Motors FC di Stadium Piala Dunia Jeonju, esok, susulan tamatnya penggantungan terhadap empat pemain mereka.
Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Gabriel Palmero kini bebas daripada hukuman penggantungan selama 12 bulan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus membuka ruang untuk mereka kembali memperkuatkan skuad Harimau Selatan.
Bagaimanapun, berdasarkan perkongsian gambar oleh JDT setakat ini, hanya Figueiredo dan Irazabal dilihat bersama pasukan kendalian Xisco Munoz menjelang pertembungan menentang wakil Korea Selatan itu.
Kepulangan pemain terbabit turut mencetuskan keterujaan dalam kalangan penyokong JDT di media sosial yang menantikan kemunculan semula mereka dalam jersi Harimau Selatan.

Jon Irazabal dapat dilihat berlatih bersama pasukan Johor Darul Ta’zim FC dalam sesi latihan sebelum bertemu Jeonbuk Hyundai Motors FC bagi ACLE esok.
Kehadiran Figueiredo khususnya mampu memberikan pilihan tambahan di bahagian serangan, terutama ketika penyerang utama JDT, Bergson Da Silva, dilaporkan mengalami kecederaan ketika menentang Port FC, Selasa lalu.
Sebelum ini, Figueiredo, Irazabal, Hevel dan Palmero bersama Facundo Garces, Rodrigo Holgado serta Imanol Machuca dikenakan penggantungan selama 12 bulan oleh FIFA pada September tahun lalu berhubung kes pemalsuan dokumen berkaitan status warisan mereka.
Figueiredo, Irazabal dan Hevel sebelum ini pernah kembali memperkuatkan JDT pada Januari lalu selepas memperoleh kebenaran sementara daripada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), manakala Palmero menyertai Harimau Selatan pada Ogos lalu.
Bagaimanapun, Figueiredo dan Irazabal kali terakhir disenaraikan bersama JDT ketika menentang Sanfrecce Hiroshima dalam saingan ACLE pada 4 Mac lalu, sebelum keputusan CAS menyebabkan penggantungan FIFA kembali berkuat kuasa.
Dengan hukuman itu kini berakhir, Munoz mempunyai lebih banyak pilihan untuk merencana kekuatan pasukannya ketika JDT berdepan jadual padat membabitkan Liga Malaysia dan ACC Piala Shopee.
JDT kini menduduki tangga keempat dalam carta peringkat liga ACLE dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri daripada tiga perlawanan, sekali gus menjadikan aksi menentang Jeonbuk peluang penting untuk meneruskan momentum di pentas Asia.