Imanol Machuca mencatat perkembangan penting apabila menjadi pemain pertama daripada tujuh tonggak yang pernah digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan isu dokumen kelayakan Harimau Malaya, kembali beraksi dalam perlawanan kompetitif.

Pemain berusia 26 tahun itu membuat penampilan semula bersama Independiente apabila dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-88 dalam aksi Liga Utama Argentina menentang Defensa y Justicia, awal pagi tadi.

Kemunculan itu menamatkan penantian Machuca selepas hampir setahun tidak dapat beraksi dalam pertandingan rasmi berikutan hukuman penggantungan selama 12 bulan yang berakhir pada 30 Oktober lalu.

Machuca merupakan antara tujuh pemain yang dikenakan tindakan FIFA pada September tahun lalu selepas badan induk bola sepak dunia itu mendapati dokumen yang dikemukakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membuktikan kelayakan mereka mewakili negara telah dipinda.

Selain Machuca, enam pemain lain yang turut menerima hukuman sama ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Kontroversi berkenaan tercetus selepas ketujuh-tujuh pemain itu diturunkan ketika Malaysia mencatat kemenangan 3-0 ke atas Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun 2025.

Susulan kes itu, FIFA bukan sahaja mengenakan denda terhadap FAM, malah setiap pemain terbabit turut didenda dan digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Mac lalu mengekalkan hukuman penggantungan, tetapi mengehadkan larangan itu kepada perlawanan rasmi. Keputusan berkenaan membolehkan pemain terbabit meneruskan latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh hukuman.

Machuca yang menyertai Independiente dari kelab Brazil, Fortaleza, pada penghujung Julai lalu akhirnya berpeluang kembali beraksi selepas tamat tempoh penggantungan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kariernya.

Sementara itu, dua lagi pemain, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal, berpeluang mengikuti jejak Machuca apabila kedua-duanya dilihat menyertai rombongan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Korea Selatan.

JDT dijadualkan menentang Jeonbuk Hyundai Motors FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) hari ini, sekali gus membuka kemungkinan buat kedua-dua pemain itu kembali diturunkan dalam aksi kompetitif.