Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menggesa FIFA mengkaji semula cadangan penubuhan FIFA Forward Enterprise (FFE) selepas isu itu mencetuskan perpecahan dalam komuniti bola sepak dunia sehingga timbul kemungkinan Piala Dunia diboikot.
Dalam satu kenyataan rasmi, AFC menyatakan pendirian bersama UEFA dan CONCACAF yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan membuka ruang kepada pelabur swasta memiliki pegangan dalam kejohanan utama FIFA, selain mempersoalkan proses membuat keputusan yang disifatkan kurang telus.
Menurut AFC, perkembangan tersebut sepatutnya menjadi kebimbangan semua pihak kerana bola sepak tidak seharusnya berada dalam situasi yang boleh menjejaskan penyertaan negara-negara dalam Piala Dunia, iaitu kejohanan paling berprestij di dunia.
Badan induk bola sepak Asia itu berpendapat cadangan FIFA Forward Enterprise kini sukar memperoleh sokongan menyeluruh daripada semua konfederasi selepas pendirian tegas yang diambil UEFA dan CONCACAF. AFC menegaskan kekuatan Piala Dunia bergantung kepada penyertaan semua konfederasi serta negara terbaik dunia, justeru sebarang cadangan yang boleh menjejaskan perpaduan kejohanan itu perlu dinilai semula.
AFC turut menegaskan isu sebenar bukan hanya tertumpu kepada FFE, sebaliknya mendedahkan kelemahan dalam proses perundingan dan tadbir urus FIFA yang perlu diperbaiki. Walaupun FIFA telah memberikan penjelasan lanjut mengenai cadangan itu, AFC berpandangan persoalan berkaitan tadbir urus, proses institusi dan konsultasi bermakna masih belum terjawab.
Menurut AFC lagi, cadangan yang mampu memberi kesan besar terhadap masa depan komersial, sukan dan strategi bola sepak dunia tidak seharusnya dibangunkan tanpa penglibatan awal konfederasi, persatuan ahli serta badan pentadbiran FIFA sendiri termasuk Majlis FIFA.
Badan itu turut mengingatkan bahawa ini bukan kali pertama pemegang taruh utama berdepan situasi apabila sesuatu inisiatif besar diumumkan selepas hala tuju seolah-olah sudah diputuskan terlebih dahulu. Pendekatan sedemikian, menurut AFC, boleh menjejaskan keyakinan terhadap sistem tadbir urus FIFA dan mengurangkan peranan badan berkanunnya.
Sehubungan itu, AFC menggesa FIFA melaksanakan semakan segera terhadap rangka kerja tadbir urus dan proses membuat keputusan supaya setiap cadangan yang memberi impak global dibincangkan secara telus, melibatkan semua pihak berkepentingan dan melalui pemantauan badan-badan pentadbiran FIFA.
AFC menegaskan Piala Dunia dan bola sepak adalah milik seluruh komuniti bola sepak dunia. Oleh itu, masa depan sukan tersebut perlu ditentukan secara bersama oleh semua konfederasi dan persatuan ahli, bukannya melalui keputusan yang tidak mendapat sokongan menyeluruh daripada keluarga bola sepak antarabangsa.