Kredit Gambar: AFC

Piala Asia 2027 di Arab Saudi bakal berlangsung pada tarikh baharu selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan penjadualan semula kejohanan berikutan perkembangan situasi di rantau berkenaan.

Menerusi pengumuman rasmi pada Selasa, AFC memaklumkan kejohanan edisi ke-19 itu yang sebelum ini dijadualkan berlangsung dari 7 Januari hingga 5 Februari 2027, kini akan dianjurkan dari 23 Disember 2027 hingga 21 Januari 2028.

Perubahan tersebut dibuat selepas AFC mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) serta Persatuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF) bagi menilai keadaan semasa dan kesannya terhadap persiapan kejohanan.

Menurut AFC, situasi luar biasa yang berlaku di rantau itu memerlukan pertimbangan serius, khususnya membabitkan aspek logistik dan perjalanan yang berpotensi menjejaskan kelancaran penganjuran.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Penganjur Piala Asia meluluskan keputusan untuk mengubah jadual kejohanan yang bakal menampilkan 24 pasukan terbaik benua Asia.

Bagaimanapun, tarikh baharu berkenaan masih belum dimuktamadkan sepenuhnya kerana perlu dikemukakan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk mendapatkan kelulusan.

Arab Saudi sebelum ini diberikan kepercayaan menjadi tuan rumah Piala Asia buat pertama kali dalam sejarah, dengan tiga bandar utama iaitu Riyadh, Jeddah dan Al Khobar dipilih sebagai lokasi penganjuran.

Perubahan jadual itu pastinya memberi kesan kepada perancangan pasukan yang bakal beraksi, termasuk aspek persediaan, perjalanan dan penyusunan kalendar pertandingan menjelang kejohanan terbesar bola sepak Asia berkenaan.