DALAM saat bola sepak negara sedang bergelut dengan krisis keyakinan dan kemelut pentadbiran, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat memerlukan sosok pemimpin baharu yang benar-benar berjiwa besar.

FAM perlu individu yang mampu mengembalikan maruah mereka serta meyakinkan semula peminat, penaja dan badan bola sepak antarabangsa. Itulah amaran tegas pemerhati sukan tanah air, Dato’ Christopher Raj, yang menyifatkan pemilihan presiden baharu sebagai detik paling kritikal dalam sejarah moden FAM.

“Sesiapa yang mahu menjadi presiden FAM mesti mempunyai ciri kepimpinan yang cukup berkaliber. Dia perlu mampu memimpin FAM keluar daripada malapetaka ini, bukan sekadar membetulkan keadaan, tetapi juga mendapatkan semula kepercayaan pemegang taruh, penaja dan kerajaan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, presiden baharu bukan sahaja perlu menyusun hala tuju FAM secara total, tetapi mesti membuktikan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bahawa Malaysia bersedia mematuhi setiap ketetapan undang-undang selepas episod hitam yang melanda badan induk itu.

“Selain itu, presiden baru FAM perlu mendapatkan kepercayaan semula AFC dan FIFA bahawa FAM selepas ini akan melakukan perkara yang betul mengikut undang-undang,” jelasnya.

Christopher menegaskan bahawa individu yang bakal menerajui FAM perlu sanggup memikul segala beban dan kecaman yang datang bersama jawatan tersebut, tanpa memilih alasan.

“Sesiapa yang mahu menjadi presiden perlu sanggup menanggung segala musibah yang berlaku sekarang. Tidak boleh datang dan berkata ‘ini bukan berlaku pada zaman saya’. Beban itu tetap perlu dipikul dan diselesai dengan apa cara sekali pun,” katanya.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap moral kakitangan FAM yang kini berada pada tahap sangat rendah, menuntut kehadiran pemimpin yang mampu menyuntik kembali motivasi dalam organisasi. Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa presiden baharu tidak boleh menjauhkan diri daripada penyokong.

“Pemimpin itu mesti berupaya berhubung dengan seluruh peminat bola sepak. Mendengar pandangan mereka dan pihak-pihak berkaitan. Jangan ingat dia seorang sahaja tahu dan bijak. Suara peminat tidak boleh dipinggirkan,” ujarnya.

Justeru, Christopher menegaskan bahawa proses pemilihan presiden baharu bukan soal mengisi kerusi kosong semata-mata, tetapi keputusan besar yang bakal menentukan arah masa depan bola sepak Malaysia, sama ada bergerak ke arah pemulihan atau terus tenggelam di takuk yang sama.

TAMAT