KONTINJEN Senior Golfers’ Society of Malaysia (SGSM) mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih tiga podium pada Kejohanan Golf Amatur Senior ASEAN ke-40 (CASGA 2026) di Eagle Ridge Golf & Country Club, Tagaytay, Filipina, dari 25 hingga 29 Oktober lalu.

Malaysia menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan negara dengan 64 mata menerusi Lela Pahlawan Challenge, selain meraih dua perak dalam kategori Nett (831 mata) dan Stableford (461 mata) serta gangsa dalam kategori Gross (960 mata).

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia menampilkan prestasi konsisten dalam kejohanan yang menghimpunkan enam negara termasuk Filipina, Singapura, Thailand, Myanmar dan Brunei Darussalam.

Wakil Malaysia dalam Mesyuarat Agung Tahunan CASGA 2026.

Presiden SGSM merangkap Setiausaha Agung CASGA, Dato’ Haji Bahari Haji Abdullah berkata, kejohanan itu bukan sekadar medan persaingan, malah menjadi platform mengukuhkan persahabatan dan kerjasama antara negara ASEAN menerusi sukan golf.

Malaysia turut menerima penyerahan bendera Confederation of ASEAN Senior Golfers Associations (CASGA) sebagai simbol tanggungjawab menjadi tuan rumah kejohanan dan Mesyuarat Agung Tahunan CASGA 2027.

SGSM kini memberi tumpuan kepada persiapan penganjuran tahun depan dengan hasrat menyediakan kejohanan berkualiti tinggi serta mengalu-alukan penyertaan pemain golf senior dari seluruh rantau ASEAN.