BUKU ‘Roar: Football Legends of Singapore’ telah dilancarkan di hadapan 1,000 penyokong bola sepak yang sama-sama memeriahkan acara yang dianggap sebagai penghargaan kepada sejarah 100 tahun bola sepak di republik itu.
Naskhah yang ditulis oleh A.Thiyaga Raju yang juga peminat bola sepak fanatik itu mahu peminat bola sepak masa kini mengenali pemain-pemain dari zaman dahulu beserta cerita-cerita yang nostalgia.
Majlis pelancaran itu telah dihadiri oleh pemain dari pelbagai generasi antaranya kapten 1977 Samad Allapitchay dan juga bintang paling ternama dalam sejarah bola sepak Singapura Fandi Ahmad yang kembali ke Malaysia sebagai Pengarah Teknikal Sri Pahang.

A.Thiyaga Raju
Selain dari pelancaran buku tersebut, satu tuangan plaster berbentuk kaki kiri bekas pemain Singapura, Chia Boon Leong yang dinamakan ‘Twinkletoes‘ turut didedahkan kepada umum dalam majlis itu.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Lim Kia Tong, Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura, Datuk Dr. Azfar Mohamad Mustafar, Komisioner Malaysia ke Singapura dan wakil dari Sport Singapore.

Barisan pemain veteran kedua-dua pasukan.
Selepas perasmian, pemain veteran kedua-dua negara mengambil bahagian dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang menampilkan Fandi Ahmad, Malek Awab, Razali Saad, Leong Kok Fann, R Suriamurthy, Robert Sim, Ho Kwang Hock, Fahmi Abdullah dan Shahri Rahim.
Manakala pemain veteran Malaysia diwakili oleh Datuk Soh Chin Ann, James Wong, Datuk Zainal Abidin Hassan, Khung Heng Meng, Vincent Thambyrajah, Chen Wooi Haw, Chow Siew Yai, Kamarul Zaman Yusoff dan P Umaparam.