Skuad Malaysia B-17 tidak boleh mengambil mudah cabaran Palestin apabila kedua-dua pasukan bakal bertemu dalam aksi pembukaan Kelayakan Piala Asia B-17 2027, Ahad ini.
Ketua jurulatih, Shukor Adan mengakui kelebihan fizikal yang dimiliki pasukan Asia Barat itu mampu memberikan kesukaran kepada anak buahnya, namun percaya persiapan menyeluruh menjadi kunci untuk menghadapi perlawanan berkenaan.
Bagi memastikan pemain lebih bersedia, barisan kejurulatihan sudah mengadakan sesi analisis video bagi mengenal pasti kekuatan serta corak permainan Palestin sebelum pertemuan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
“Daripada analisis yang dilakukan, kita dapat melihat Palestin bukanlah pasukan yang mudah ditentang dan mereka mempunyai kelebihan dari segi fizikal.
“Namun, bola sepak bukan sekadar tentang kekuatan fizikal. Persiapan pemain menjelang hari perlawanan, khususnya aksi pertama, merupakan perkara yang lebih penting,” katanya.
Shukor turut mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang ringan perlawanan pembukaan kerana aksi pertama dalam kejohanan kebiasaannya menjadi ujian besar buat setiap pasukan.
Justeru, beliau mahu setiap pemain memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang perlawanan serta memastikan segala persiapan yang dilakukan dapat diterjemahkan kepada persembahan di atas padang.
“Kebiasaannya, perlawanan pertama merupakan aksi yang agak sukar bagi mana-mana pasukan. Jadi, saya berharap pemain-pemain dapat memberikan fokus sepenuhnya dan menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan pertama nanti,” katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama Palestin, India, Singapura dan Guam, dengan kesemua aksi kelayakan dijadualkan berlangsung di laman sendiri.
Selepas membuka kempen menentang Palestin pada 8 November ini dengan sepak mula jam 9 malam, skuad negara akan berdepan Singapura pada 14 November, Guam (17 November) dan India (20 November).
Cabaran Malaysia kali ini cukup penting memandangkan hanya juara setiap daripada tujuh kumpulan kelayakan akan memperoleh tiket automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2027 yang dijadualkan berlangsung di Uzbekistan pada Mei tahun depan.