Pemain hoki remaja kebangsaan, Dheeressh Gunaseelan mengambil kesempatan sempena sambutan Deepavali untuk menyeru rakyat Malaysia terus memupuk semangat perpaduan, saling menghormati dan meraikan kepelbagaian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menerusi ucapan sempena perayaan itu, Dheeressh menyifatkan Deepavali bukan sekadar perayaan cahaya, sebaliknya membawa mesej tentang kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan, cahaya mengatasi kegelapan serta harapan untuk memulakan lembaran baharu.
Beliau turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh masyarakat India di Malaysia, selain mengajak rakyat daripada kaum lain untuk turut sama meraikan kemeriahan perayaan berkenaan.
Menurutnya, keindahan Malaysia terserlah apabila masyarakat daripada pelbagai latar belakang saling mengunjungi, berkongsi juadah dan meraikan perayaan bersama-sama.

Dheeressh Gunaseelan bersama rakan sepasukan Young Tigers ketika meraikan kejayaan menjuarai Piala Sultan Johor 2026 baru-baru ini.
“Bagi saya, tiada Deepavali tanpa kehangatan, persahabatan dan kebersamaan seluruh rakyat Malaysia. Amat indah apabila rakan-rakan daripada setiap komuniti turut serta, saling berkunjung, berkongsi hidangan dan meraikannya bersama-sama,” katanya.
Pemain muda itu turut menegaskan bahawa perbezaan latar belakang, bahasa dan budaya tidak seharusnya menjadi penghalang untuk rakyat terus bersatu sebagai sebuah keluarga besar Malaysia.
Dalam ucapan sama, Dheeressh turut merakamkan penghargaan kepada individu yang banyak memainkan peranan dalam perjalanan kariernya, khususnya ketika mengharungi kejohanan serta mencapai kejayaan dalam sukan hoki.

Dheeressh Gunaseelan (berdiri kiri) bersama ahli keluarganya.
Beliau memberikan penghargaan khusus kepada kedua-dua ibu bapanya yang sentiasa berada di sisinya ketika berdepan cabaran, selain adik-beradik yang tidak pernah jemu memberikan sokongan dan semangat.
Tidak ketinggalan, beliau turut berterima kasih kepada barisan jurulatih dan guru yang banyak memberikan tunjuk ajar, kesabaran serta bimbingan sehingga membentuk dirinya sebagai seorang pemain dan individu hari ini.
Dheeressh berharap sambutan Deepavali kali ini membawa sinar kebahagiaan, kesihatan yang baik, kemakmuran serta peluang lebih besar kepada seluruh rakyat Malaysia.
Beliau juga mengingatkan orang ramai yang pulang ke kampung halaman atau melakukan perjalanan sepanjang musim perayaan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mengutamakan keselamatan.
Mengakhiri ucapannya, Dheeressh menegaskan bahawa semangat perpaduan perlu terus menjadi asas kehidupan masyarakat Malaysia.
“Dalam semangat Malaysia, kita meraikan bersama, berdiri bersama dan kita adalah satu,” katanya.