Kredit Gambar: MASOC 2027

Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan peningkatan ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi atlet yang memenangi pingat dalam acara berpasukan di Sukan Asia, Sukan Para Asia dan Sukan Komanwel.

Menerusi penambahbaikan itu, setiap atlet yang meraih pingat emas acara berpasukan bakal menerima RM40,000 berbanding RM15,000 sebelum ini, sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak 166.67 peratus.

Bukan itu sahaja, ganjaran bagi pemenang pingat perak turut dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM20,000, manakala atlet yang membawa pulang pingat gangsa akan menerima RM10,000 berbanding RM4,000 sebelum ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan tersebut diluluskan menerusi Mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada 10 November lalu dan merupakan kenaikan pertama kadar ganjaran acara berpasukan dalam tempoh 24 tahun sejak skim berkenaan ditetapkan pada 2002.

Kadar baharu itu akan diguna pakai kepada semua pasukan tanpa mengambil kira jumlah atlet yang membentuk sesebuah pasukan. Ia turut melibatkan tiga temasya utama pada 2026, iaitu Sukan Komanwel Glasgow, Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan Para Asia Aichi-Nagoya.

Seramai 66 atlet daripada 10 pasukan yang memenangi pingat di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dijangka menerima ganjaran tambahan menerusi penambahbaikan tersebut. Antara sukan yang terlibat ialah sepak takraw, skuasy, hoki, berbasikal trek, karate dan e-sukan.

Bagi e-sukan, ganjaran itu merangkumi pencapaian dalam acara Honor of Kings, Identity V dan Mobile Legends: Bang Bang. Sementara itu, acara berpasukan sepak takraw melibatkan pingat emas regu berpasukan dan perak regu.

Secara keseluruhan, penambahbaikan tersebut membabitkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM1.152 juta termasuk insentif jurulatih menerusi Skim Galakan Jurulatih (SGAR). Jumlah ganjaran bagi ketiga-tiga temasya 2026 meningkat daripada RM4.26 juta kepada RM5.41 juta.

Dalam masa sama, peruntukan SHAKAM bagi 2026 turut meningkat kepada RM6.69 juta, menjadikannya jumlah kedua tertinggi sejak skim berkenaan diperkenalkan pada 1986.

Dr Mohammed Taufiq berkata, peningkatan ganjaran itu mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan atlet berpasukan yang turut berkorban dan berjuang demi mengharumkan nama negara, selain menjadi suntikan motivasi menjelang Sukan SEA 2027 di tanah air.