NEGERI Sembilan Antlers terus menyemarakkan api perjuangan dalam misi memburu gelaran STL Premier GP Melaka selepas menewaskan Bomba Fighters 2-0 untuk mengesahkan kemaraan ke suku akhir sebagai juara Kumpulan B.

Kemenangan itu diraih menerusi keputusan 17-15 dan 15-10 untuk menyaksikan Antlers menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan teratas, manakala PDRM Defenders turut mengiringi mereka ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan B.

Ketua Jurulatih Negeri Sembilan Antlers, Mohd Shahir mempertaruhkan Haziq Hairul Nizam di posisi tekong, Hafizul Hayazi sebagai apit kanan dan ketua pasukan, Zulefendi Sumari di posisi apit kiri bagi menghadapi perlawanan tersebut.

Antlers yang hadir dengan reputasi sebagai juara bertahan STL Champions Cup tiga edisi berturut-turut sejak 2023 kini berpeluang mengalihkan tumpuan kepada pemburuan gelaran GP Melaka selepas belum berjaya muncul juara pada dua pusingan terdahulu iaitu GP Perak dan GP Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Bomba Fighters, Ahmad Mohd Zin menurunkan Irsyad Faiz di posisi tekong, Shahrul Ishaqdin sebagai apit kanan dan ketua pasukan, Mohd Syazreenqamar di posisi apit kiri dalam usaha mencabar dominasi Antlers.

Sejak melangkah ke STL Premier 2026, Bomba Fighters berjaya mencipta kejutan apabila mara ke suku akhir pada GP Perak, namun gagal mengulangi pencapaian tersebut dalam dua pusingan berikutnya iaitu GP Pulau Pinang dan GP Melaka.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Perak Bison turut mengesahkan tempat ke suku akhir sebagai naib juara kumpulan selepas menewaskan Penang Black Panthers 2-0 menerusi keputusan 15-6 dan 15-9.

Kemenangan yang dicatat dalam tempoh 34 minit itu menyaksikan Perak Bison mengiringi Melaka Titans yang terlebih dahulu mengesahkan kelayakan ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A.