MAJLIS Anugerah Sukan (MAS) UiTM 2024 menyaksikan dua bintang sukan kebangsaan, Mohamad Aniq Kasdan dan Nurul Azreena Mohamad Fazil dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati UiTM dalam satu malam penuh gemilang di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam.

Aniq, jaguh angkat berat negara, terus mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Olahragawan UiTM buat kali ketiga berturut-turut — satu pencapaian luar biasa yang mengukuhkan lagi statusnya sebagai legenda sukan universiti. Sementara itu, Azreena yang merupakan pemanah elit negara, membuktikan ketekunan dan kelas tersendiri apabila meraih gelaran Olahragawati hasil pencapaian cemerlangnya di pentas tempatan dan antarabangsa.

MAS UiTM 2024 yang berlangsung megah pada 2 Julai turut meraikan lebih 18 kategori anugerah sebagai tanda penghargaan kepada atlet, jurulatih, pengurus dan alumni yang menjulang nama universiti sepanjang tahun lalu. Majlis disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib menegaskan komitmen universiti untuk terus melahirkan atlet berprestasi tinggi yang bukan sahaja cemerlang di gelanggang, tetapi turut membanggakan UiTM di bilik kuliah dan pentas dunia.

“UiTM bukan sekadar mencipta juara hari ini, tetapi membina legasi untuk masa depan sukan negara,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada seluruh warga sukan yang mencetuskan kebanggaan institusi itu.

Majlis berprestij itu turut menjadi simbol kepada semangat juang dan dedikasi luar biasa warga atletik UiTM, seiring dengan tema “When the Lions Roar” yang meraikan keberanian dan kebanggaan dalam dunia sukan.

UiTM sekali lagi membuktikan bahawa institusi ini bukan hanya medan akademik, tetapi juga tapak lahirnya juara sejati bangsa dan negara.