Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan proses pemuktamadan program sukan bagi Sukan SEA ke-34 Malaysia 2027 dilaksanakan mengikut Piagam dan Peraturan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), khususnya Peraturan 34 yang menggariskan kaedah pemilihan serta kelulusan acara sukan.

Penegasan itu dibuat susulan kebimbangan yang disuarakan Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Erick Thohir, berhubung program sukan temasya berkenaan.

Dalam kenyataan rasminya, MOM yang bertindak sebagai Jawatankuasa Olimpik Negara (NOC) tuan rumah berkata senarai awal membabitkan 38 sukan telah dibentangkan dan diluluskan Majlis SEAGF pada 8 April 2026.

Semua NOC anggota SEAGF kemudiannya diberi peluang mengemukakan rayuan bagi memasukkan sukan tambahan dengan tarikh akhir ditetapkan pada 8 Mei 2026. Sebanyak 29 permohonan diterima daripada pelbagai NOC dan persatuan sukan kebangsaan.

Hasil perbincangan dan penelitian, lima sukan tambahan iaitu kabaddi, sukan tari, teqball, padel dan hoki ais telah diterima, selain dua disiplin baharu membabitkan chinlone di bawah sepak takraw serta polo dalam sukan ekuestrian.

Penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan sukan yang dipertandingkan meningkat kepada 43. Cadangan berkenaan dibincangkan Jawatankuasa Sukan dan Peraturan serta Jawatankuasa Eksekutif SEAGF pada 16 Julai sebelum mendapat pengesahan Majlis SEAGF sehari kemudian.

Senarai muktamad yang merangkumi 473 acara bagi 43 sukan pula dibentangkan dan diluluskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SEAGF Bilangan 3 bagi penggal 2025-2027 pada 30 Oktober lalu.

Mengikut pembahagian kategori yang dinyatakan MOM, program tersebut merangkumi dua sukan wajib Kategori IA, 21 sukan wajib Kategori IB, 18 sukan daripada program Sukan Olimpik dan Sukan Asia bagi Kategori II, serta dua sukan dalam Kategori III.

MOM turut menegaskan bahawa keseluruhan proses berkenaan telah melalui saluran dan prosedur yang ditetapkan SEAGF, sekali gus menjelaskan bahawa pemilihan program sukan bukan dibuat secara unilateral oleh pihak tuan rumah.

Sukan SEA 2027 dijadual berlangsung di Malaysia pada 18 hingga 29 September tahun hadapan dan bakal menjadi medan buat negara-negara Asia Tenggara bersaing dalam 473 acara merangkumi 43 sukan.