Perak Bison meneruskan kemaraan cemerlang dalam STL Premier 2026 apabila mengesahkan tempat ke final GP Melaka selepas menewaskan PDRM Defenders dalam aksi separuh akhir, hari ini.
Juara GP Penang itu mempamerkan aksi meyakinkan apabila menundukkan juara GP Perak tersebut dengan kemenangan straight set 15-7, 15-10 dalam tempoh 37 minit.
Kemenangan itu menyaksikan Perak Bison layak ke final buat kali kedua berturut-turut, sekali gus berpeluang menambah koleksi kejuaraan mereka dalam saingan Grand Prix musim ini.
Sementara itu, Melaka Titans turut mengesahkan kemaraan ke final selepas menewaskan Selangor Pistons dalam perlawanan lebih sengit yang berlanjutan selama 74 minit.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Melaka memulakan perlawanan dengan cukup garang apabila menguasai set pertama 15-5.
Bagaimanapun, Selangor Pistons bangkit memberikan tentangan apabila memenangi set kedua 15-10 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Melaka Titans akhirnya memastikan kemenangan selepas mengatasi Selangor 15-13 pada set ketiga untuk melengkapkan kemenangan 2-1.
Keputusan itu menyaksikan Melaka Titans bakal membuat perhitungan dengan Perak Bison dalam aksi final GP Melaka.
Perak pastinya hadir dengan keyakinan selepas kejayaan mara ke final buat kali kedua berturut-turut, manakala Melaka Titans pula memiliki kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri dalam usaha memburu gelaran GP Melaka.
[/et_pb_text][/et_pb_column][/et_pb_row][/et_pb_section]