PASUKAN TNB Thunderstars tetap menutup kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) Premier 2026 dengan senyuman apabila dinobatkan juara liga meskipun tewas 1-2 kepada Terengganu Hockey Team (THT) dalam aksi terakhir di Stadium Hoki TNB, hari ini.

Kekalahan itu menyaksikan Thunderstars gagal mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang saingan, namun keputusan berkenaan tidak menjejaskan kedudukan mereka di puncak liga dengan 31 mata.

Sebaliknya, kemenangan THT memastikan pasukan dari Pantai Timur itu mengesahkan kedudukan naib juara selepas mengumpul 27 mata, empat mata di belakang Thunderstars.

Thunderstars terlebih dahulu membuka jaringan menerusi ketua pasukan, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi seawal minit keempat, namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Muhammad Firhan Ashari menyamakan kedudukan buat THT seminit kemudian.

Perlawanan turut terganggu akibat hujan lebat apabila aksi ditangguhkan selama 30 minit ketika berbaki seminit pada suku ketiga.

Selepas perlawanan bersambung, kedudukan 1-1 akhirnya berubah apabila Luqman Njul Halim Ahmad Shukran meledak gol kemenangan THT pada minit ke-49 untuk memastikan pasukannya menutup saingan dengan tiga mata.

Walaupun gagal mencatat kemenangan dalam aksi terakhir, Thunderstar tetap mempunyai alasan untuk meraikan kejayaan selepas mengesahkan kejuaraan MHL Premier 2026.