Melaka Titans membuktikan keampuhan mereka apabila menundukkan Perak Bison 2-0 untuk merangkul kejuaraan GP Melaka STL Premier 2026.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Melaka mempamerkan penguasaan meyakinkan untuk menundukkan juara GP Penang itu menerusi kemenangan 15-8, 15-9.

Kejayaan tersebut menyaksikan Melaka Titans sekali lagi mengatasi Perak Bison selepas kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Kumpulan A beberapa hari lalu, dengan Melaka turut mencatat kemenangan 2-1 pada pertemuan berkenaan.

Pertembungan final kali ini turut menyajikan aksi menarik antara dua tekong berkelas dunia, Syahir Rosdi yang mewakili Melaka Titans dan Pornthep Tinbangbon bersama Perak Bison.

Melaka menurunkan barisan Azlan Alias selaku apit kanan, Syahir Rosdi sebagai tekong dan Zaim Razali yang turut bertindak sebagai kapten di posisi apit kiri.

Perak Bison pula mempertaruhkan Nazrein Daniel di posisi apit kanan, Pornthep sebagai tekong serta Amirul Zazwan yang menggalas tanggungjawab kapten dan apit kiri.

Dalam satu lagi perlawanan, PDRM Defenders menamatkan saingan GP Melaka di tempat ketiga selepas menewaskan Selangor Pistons 2-0 menerusi keputusan 17-15, 17-15.

Walaupun tewas, Selangor Pistons tetap boleh berbangga dengan pencapaian mereka apabila berjaya mara ke separuh akhir buat kali pertama dalam saingan Grand Prix musim ini.

Selangor sebelum ini mencipta kejutan pada peringkat suku akhir dengan menyingkirkan Negeri Sembilan Antlers, namun perjalanan mereka terhenti di separuh akhir selepas tewas 1-2 kepada Melaka Titans.

Lebih menarik, pencapaian itu hadir selepas Selangor gagal melayakkan diri ke suku akhir dalam dua Grand Prix pertama musim ini.

Walaupun tewas malam ini, Perak Bison kini mendahului carta keseluruhan STL Premier 2026 dengan 75 mata diikuti oleh PDRM Defenders dengan 71 mata manakala Negeri Sembilan Antlers di tempat ke-3 dengan 58 mata manakala Melaka Titans di tempat ke-4 dengan 55 mata.

Menariknya, selepas tiga pusingan GP STL Premier 2026, saingan musim ini menyaksikan tiga pasukan berbeza muncul juara. PDRM Defenders terlebih dahulu merangkul kejuaraan GP Perak sebelum Perak Bison menjuarai GP Penang, manakala Melaka Titans kini melengkapkan senarai tersebut selepas menguasai GP Melaka.

Keputusan itu membuktikan persaingan STL Premier 2026 semakin terbuka apabila tiga pasukan berbeza berjaya menaiki podium tertinggi dalam tiga pusingan GP setakat ini.

GP seterusnya merupakan GP Kuala Lumpur dan akan berlangsung di Stadium Titiwangsa pada 18 hingga 22 November ini.