Kredit Gambar: Media Sosial Orang Ramai

Kerajaan Negeri Pahang menyatakan kesediaan membantu Ariffin Abdul Manan, 60, atau lebih dikenali sebagai ‘Pakcik Ariffin’, meneruskan penglibatan aktif dalam kegiatan sukan selepas warga emas itu mencuri perhatian menerusi penyertaannya dalam IRONMAN 70.3 Langkawi.

Penyertaan Ariffin dalam acara berprestij itu mencetuskan perhatian ramai apabila beliau tampil dengan pakaian ringkas, hanya mengenakan seluar khaki, baju tanpa lengan dan kopiah ketika menyertai cabaran berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerajaan negeri mahu memastikan individu seperti Ariffin terus mendapat sokongan untuk kekal aktif dalam bidang sukan.

Menurutnya, bantuan kelengkapan sukan turut dipertimbangkan bagi membolehkan Ariffin meneruskan aktiviti berkenaan tanpa berdepan kekangan kemudahan.

“Penyertaannya yang bersahaja dalam acara di Langkawi dengan kelengkapan cukup asas. Justeru, Kerajaan Negeri Pahang dengan persetujuan Menteri Besar, kita sedia bantu kelengkapan sukan supaya beliau tidak bersendirian.

“Beliau boleh menjadi ikon kepada golongan muda apabila berjaya menyertai dan menamatkan acara berkenaan meskipun hanya menggunakan kelengkapan yang sangat asas,” katanya ketika menjawab pertanyaan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Fadzli berkata, kisah Ariffin membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk seseorang terus aktif, malah mampu menjadi inspirasi kepada masyarakat, khususnya golongan muda, untuk membabitkan diri dalam kegiatan sukan.

Kredit Gambar: Orang Ramai

Sebelum ini, Ariffin turut mendapat perhatian apabila menyertai larian sejauh 30 kilometer tanpa kasut menerusi Malaysia Taman Negara Ultra (MTNU) di Jerantut, sekali gus memperlihatkan minat dan ketekunannya terhadap aktiviti ketahanan fizikal.

Kerajaan negeri berharap sokongan yang diberikan dapat membantu Ariffin meneruskan minatnya dalam sukan, selain menjadi contoh kepada masyarakat bahawa semangat, keberanian dan kesungguhan tidak dibatasi usia.