ATLET angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat berjaya mencatatkan rekod baharu kebangsaan bagi kategori 73kg pada Sabtu.

Pada acara yang berlangsung di Pusat Sukan dan Pertandingan Hanoi itu, Muhammad Erry mengangkat bebanan seberat 316kg (snatch dan clean and jerk) bagi memastikan pingat gangsa.

“Saya minta maaf gagal dapat pingat perak. Saya dah cuba yang terbaik tadi untuk pecahkan rekod Sukan SEA. Saya gagal menang perak tapi saya akan cuba sekali lagi.

“Fokus selepas ini adalah menghadapi temasya Sukan Komanwel di Birmingham yang bermula kurang dua bulan.

“Tiada lagi rehat kerana saya akan menggandakan latihan untuk mendapatkan keputusan yang terbaik nanti,” katanya yang merupakan anak kepada jaguh angkat berat negara, Hidayat Hamidon.

Atlet Indonesia, Rahmad Erwin Abdullah merangkul emas manakala perak milik Doungsri Anucha dari Thailand.