Kredit Gambar: Arif Kartono/AFP
Malaysia bakal mempertaruhkan dua beregu sahaja pada Jelajah Dunia Akhir BWF 2026 yang dijadual berlangsung di Hangzhou, China, dari 9 hingga 13 Disember depan, sekali gus mencatat jumlah penyertaan terendah negara sejak 2023.
Dua pasangan yang mengesahkan tempat ke kejohanan penutup musim itu ialah beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah, selepas saingan Terbuka Hong Kong berakhir Ahad lalu.
Jumlah itu menyaksikan penurunan ketara berbanding enam wakil pada 2024 dan lima pasangan tahun lalu. Ia juga menyamai rekod penyertaan paling kecil Malaysia sejak BWF memperkenalkan Jelajah Dunia pada 2018, apabila negara turut menghantar dua beregu pada edisi 2018, 2019 dan 2023.
Walaupun jumlah wakil bukan penentu mutlak kejayaan, penyertaan yang lebih kecil bermakna peluang pemain negara untuk bersaing dengan kelompok terbaik dunia serta merebut ganjaran lumayan kejohanan itu turut berkurangan. Edisi kali ini menawarkan hadiah keseluruhan AS$3.5 juta (RM14.41 juta), meningkat AS$500,000 (RM2.06 juta) berbanding tahun lalu.
Bagi acara beregu, pasangan yang muncul juara bakal membawa pulang AS$294,000 (RM1.21 juta), manakala naib juara menerima kira-kira AS$140,000 (RM576,500) dan pasangan yang tewas di separuh akhir memperoleh AS$70,000 (RM288,300). Malah, penamat di tangga keempat peringkat kumpulan juga menjanjikan ganjaran sekitar AS$24,500 (RM100,900) serta 7,800 mata ranking.
Dari segi peluang memburu gelaran, Sze Fei-Izzuddin memiliki pengalaman beraksi di pentas berkenaan apabila bakal membuat penampilan kedua selepas muncul naib juara pada penampilan sulung mereka pada 2024. Beregu nombor lima dunia itu hampir menghadiahkan Malaysia gelaran pertama sebelum tewas kepada wakil Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, pada aksi final.
Mereka gagal melayakkan diri tahun lalu, namun bangkit dengan prestasi lebih konsisten musim ini menerusi kejuaraan Masters Indonesia pada Januari dan Terbuka Indonesia pada Jun. Kejayaan mara ke final Masters Malaysia serta Terbuka Perancis turut membantu mereka mengesahkan tiket kembali ke Hangzhou.

Kredit Gambar: May James/AFP
Sementara itu, Pearly-Thinaah bakal membuat penampilan kelima di kejohanan berkenaan. Beregu nombor empat dunia itu pernah tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi 2021, 2022 dan 2024 sebelum mencipta kemaraan pertama ke separuh akhir tahun lalu, namun tewas kepada pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto.
Pearly-Thinaah bagaimanapun mempunyai bekalan prestasi positif menjelang edisi kali ini selepas meraih tiga gelaran sepanjang musim, termasuk kejayaan di Terbuka Hong Kong pada Ahad lalu. Mereka turut menjuarai Masters Indonesia dan Terbuka Denmark, selain muncul naib juara Terbuka Perancis serta Terbuka Taiwan.
Malaysia masih belum pernah melahirkan juara Jelajah Dunia Akhir BWF sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2018. Pencapaian terbaik negara hadir pada 2024 apabila Sze Fei-Izzuddin serta beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masing-masing mara ke final, tetapi terpaksa berpuas hati sebagai naib juara, manakala tahun lalu Pearly-Thinaah dan Tang Jie-Ee Wei hanya mampu melangkah ke separuh akhir.