Sumber Gambar: Sebastien Bozon/AFP

MAHKAMAH Timbang Tara Sukan (CAS) mengesahkan Senegal sebagai juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 selepas menerima rayuan Persatuan Bola Sepak Senegal (FSF).

Keputusan itu sekali gus membatalkan keputusan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) sebelum ini yang memberikan kemenangan kepada Maghribi selepas Senegal didakwa kalah melalui tindakan meninggalkan padang.

Kontroversi tercetus apabila pemain Senegal meninggalkan padang selama kira-kira 15 minit sebagai tanda protes terhadap sepakan penalti yang diberikan kepada Maghribi pada penghujung perlawanan.

Namun, perlawanan diteruskan selepas pemain Senegal kembali ke padang sebelum Brahim Diaz gagal menyempurnakan sepakan penalti dan Pape Gueye menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan.

CAS memutuskan bahawa keputusan pengadil untuk meneruskan perlawanan berada dalam bidang kuasanya dan tidak boleh dibatalkan berdasarkan peraturan yang digunakan oleh CAF.

“Panel mengakui bahawa pengadil perlu membuat keputusan dalam suasana yang sangat tegang. Bagaimanapun, keadaan tersebut tidak membenarkan keputusan itu dianggap sebagai sewenang-wenangnya. Sebaliknya, pertimbangan pengadil dilihat tidak dipengaruhi oleh faktor luar permainan.” kata CAS.

Keputusan itu menamatkan pertikaian berpanjangan berhubung final AFCON 2025 sekali gus mengesahkan Senegal sebagai juara Afrika buat kali kedua selepas kejayaan mereka pada 2022.