Sokongan psikologi secara berterusan menjadi antara keutamaan dalam membantu atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin, menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu selepas kehilangan tangan kanan akibat kemalangan motosikal.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, pakar psikologi sukan, Nor Azura Mat Nasir, memainkan peranan penting dalam membantu Hafizuddin mengharungi fasa penerimaan sejak hari kedua selepas kejadian dan terus memberikan sokongan sehingga kini.
Menurutnya, Nor Azura merupakan individu yang diminta sendiri oleh Hafizuddin untuk membantunya memandangkan atlet berkenaan sudah berada di bawah bimbingan psikologinya sejak 2024.
“Kami cukup bertuah kerana Nor Azura selaku psikologis sentiasa membantu sejak hari kedua kejadian dan terus memberikan sokongan sehingga kini.
“Beliau sebelum ini banyak menyumbang kepada sukan angkat berat dan juga amat rapat dengan atlet-atlet. Beliau telah memberikan bimbingan dan sebagainya dan keadaan Muhammad Hafizuddin semakin bertambah baik,” katanya selepas lawatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

Pakar Psikologi Sukan, Nor Azura Mat Nasir
Nor Azura kini bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Beliau juga merupakan kaunselor berdaftar dan pernah berkhidmat sebagai psikologis sukan angkat berat bersama Institut Sukan Negara (ISN) dari 2018 hingga 2025.
Mengulas keadaan terkini Hafizuddin, Ayub memaklumkan atlet itu mengalami migrain sejak malam sebelumnya yang dipercayai berpunca daripada kekurangan tidur serta kemungkinan faktor emosi. Bagaimanapun, keadaan keseluruhannya tidak membimbangkan berdasarkan pemantauan doktor.
Dalam lawatan berkenaan, Norza turut mengumumkan sumbangan RM10,000 menerusi Tabung Amanah MOM, manakala RM10,000 lagi disalurkan atas kapasiti peribadinya bagi membantu Hafizuddin melalui tempoh pemulihan.
Dalam perkembangan lain, PABM merancang mempercepatkan perpindahan atlet angkat berat negara dari Bukit Jalil ke Pusat Kecemerlangan Sukan Angkat Berat Kebangsaan di Rompin, Pahang, bagi menyediakan persekitaran latihan lebih terkawal serta memperkukuh disiplin atlet.
Ayub berkata, Rompin dilihat lebih sesuai untuk sukan angkat berat kerana persekutuan perlu memastikan atlet mematuhi peraturan tanpa menjejaskan kesinambungan latihan sekiranya berlaku pelanggaran disiplin. Perbincangan bersama pengurusan tertinggi Majlis Sukan Negara (MSN) dijadual berlangsung pada 3 Disember bagi memperincikan perancangan itu, termasuk usaha menaik taraf kemudahan penginapan dan infrastruktur pusat berkenaan.