Kredit Gambar: IG Datuk Ayub Rahmat
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberi jaminan atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Ruslin, tidak akan dibiarkan bersendirian atau terpinggir selepas dibenarkan keluar dari hospital susulan kemalangan motosikal serius yang mengakibatkan tangan kanannya terpaksa dipotong.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, sokongan terhadap atlet berusia 21 tahun itu perlu diteruskan, khususnya dari segi pemulihan fizikal dan kesihatan mental memandangkan insiden berkenaan turut memberi kesan emosi kepadanya.
Menurut Norza, perkembangan kesihatan Hafizuddin menunjukkan perubahan positif apabila beliau sudah mampu berinteraksi dan sedang menjalani proses pemulihan. Bagaimanapun, pengalaman traumatik itu memerlukan perhatian berterusan daripada pasukan perubatan serta sokongan psikologi.
“Keadaan Hafizuddin semakin baik. Beliau sudah boleh berinteraksi dan akan mula mencuba untuk berjalan.
“Namun, kejadian itu merupakan pengalaman traumatik dan emosinya masih belum stabil. Beliau memerlukan sokongan bukan sahaja daripada doktor, tetapi juga ahli psikologi,” katanya selepas mengadakan lawatan ke atas Hafizuddin di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
Norza yang hadir bersama Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (MWF), Datuk Ayub Rahmat turut menegaskan keperluan menyediakan jaringan sokongan atau safety net buat Hafizuddin selepas beliau keluar hospital supaya kebajikan atlet itu terus terpelihara.
“Perkara paling penting, kita tidak boleh melupakan beliau selepas keluar hospital. Sokongan berterusan dari segi fizikal dan mental perlu diberikan. Kita tidak mahu beliau berasa terpinggir atau melalui penderitaan ini seorang diri, lebih-lebih lagi selepas segala sumbangan yang telah diberikan kepada negara,” katanya.
Dalam lawatan sama, MOM menyalurkan RM10,000 menerusi Tabung Amanah badan itu, manakala Norza turut menyumbangkan RM10,000 atas kapasiti peribadi, menjadikan jumlah bantuan awal sebanyak RM20,000 bagi membantu Hafizuddin dan keluarganya.
Hafizuddin turut mendapat sokongan psikologi daripada bekas ahli psikologi sukan Institut Sukan Negara (ISN), Nor Azura Mat Nasir, yang kini membantunya setiap hari. Difahamkan, atlet itu sendiri meminta Azura untuk membantunya melalui fasa pemulihan berkenaan.
Untuk rekod, Hafizuddin mengalami kemalangan motosikal di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) minggu lalu sehingga mengalami kecederaan serius pada bahagian tangan, bahu, kaki dan kepala. Pihak doktor terpaksa melakukan amputasi tangan kanannya bagi mengelakkan komplikasi yang boleh mengancam nyawa.
Insiden itu sekali gus menamatkan kariernya sebagai atlet angkat berat kompetitif, sedangkan Hafizuddin sebelum ini dianggap antara prospek masa depan sukan angkat berat negara selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam tempoh dua musim terakhir, termasuk meraih pingat emas acara lelaki bawah 88 kilogram pada Sukan Komanwel Glasgow, Julai lalu.