Masa depan sepak takraw Malaysia tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kejayaan di gelanggang, sebaliknya perlu disokong pembangunan bakat muda, peluang kerjaya dan ekosistem industri yang lebih menyeluruh.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, pembangunan akar umbi perlu menjadi asas utama sekiranya Malaysia mahu memastikan sukan berkenaan terus berkembang dan mempunyai bekalan pemain berkualiti untuk jangka panjang.

Menurutnya, usaha melahirkan generasi baharu pemain memerlukan kerjasama erat antara Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan, persatuan negeri, sekolah serta komuniti.

Menerusi inisiatif Astro Arena dan Astro Kasih, Klinik STL diperkenalkan pada 2023 bagi memberi peluang kepada kanak-kanak dan golongan muda mengenali serta mempelajari sukan sepak takraw.

Nicholas turut melihat pembangunan Akademi Sepak Takraw Malaysia sebagai satu perkembangan penting dalam menyediakan laluan lebih tersusun kepada pemain muda untuk meningkatkan kemampuan sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, pembangunan industri sukan juga perlu dilihat daripada perspektif lebih luas kerana peluang yang tersedia bukan hanya tertumpu kepada atlet, malah merangkumi pelbagai bidang profesional.

“Industri sukan bukan hanya menawarkan peluang kepada atlet. Ia turut membuka kerjaya dalam bidang penyiaran, produksi, kewartawanan sukan, pemasaran, pengurusan acara dan pengurusan pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, Nicholas percaya usaha memperkukuh ekosistem sepak takraw perlu disertai perancangan jangka panjang serta model perniagaan yang jelas bagi menarik lebih banyak pelaburan dan memastikan kelangsungan industri.

Katanya, sesebuah liga tidak boleh bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja, sebaliknya perlu mempelbagaikan peluang menerusi hak penyiaran, penajaan pasukan, jualan tiket, barangan rasmi, kandungan digital dan kerjasama dengan jenama.

Beliau turut menekankan kepentingan membina kelompok peminat yang kukuh kerana sokongan mereka mampu meningkatkan permintaan terhadap kandungan, tiket serta produk berkaitan sukan berkenaan.

Mengulas perkembangan sepak takraw negara, Nicholas yakin Malaysia mempunyai asas kukuh untuk melangkah lebih jauh berdasarkan sejarah, kualiti pemain, sokongan peminat dan kewujudan STL yang sudah melalui perjalanan selama 12 musim.

Bagaimanapun, beliau berpandangan semua pihak perlu terus memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan mutu pertandingan, penyiaran, pemasaran dan pengalaman peminat bagi memastikan sepak takraw mampu berkembang sebagai produk sukan Malaysia yang mempunyai tarikan di peringkat antarabangsa.