Foto : Hokita

Finalis Sukma 2018 acara hoki lelaki, Sabah dan Pahang memulakan saingan di temasya Sukma 2022 dengan cemerlang apabila berjaya menewaskan lawan masing-masing di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Juara bertahan Sabah mudah membenam cabaran Kedah 3-0 dalam Kumpulan A manakala dalam aksi Kumpulan B pula, naib juara 2018, Pahang menewaskan Pulau Pinang 3-2.

Sabah berjaya mengutip tiga mata penuh hasil dua jaringan Granson Noel pada suku pertama dan ketiga sebelum Nor Ismail menambah duka Kedah dengan gol pada suku ketiga.

 

Gol-gol Pahang dijaringkan menerusi dua gol Idris Samad dan Noor Firdaus Rosdi pada suku ketiga manakala Pulau Pinang membalas dengan gol dari Angad Singh menerusi sudut penalti pada suku ketiga sebelum Haikal Hilman merapatkan kedudukan pada suku keempat.

Permulaan cemerlang ini pastinya akan menjadi pembakar semangat buat Sabah yang bakal bertemu Terengganu manakala Pahang akan bertemu Negeri Sembilan esok juga di venue yang sama.

Aksi Pahang menentang Pulau Pinang

Skrip yang sama berlaku dalam acara hoki wanita apabila juara bertahan, Selangor berjaya menewaskan Terengganu 4-1 dalam aksi Kumpulan X meskipun ketinggalan pada awal perlawanan.

Terengganu mendahului hasil jaringan Nurul Farawahida Marzuki pada suku kedua sebelum Selangor bangkit dengan gol hasil jaringan Ellya Amanina Elyas, Nur Insyirah Effarizal, Dayang Nuramirah dan Siti Mariani Hashim pada minit terakhir permainan.

Aksi Wilayah Persekutuan dan Sabah

Dalam satu lagi perlawanan dalam Kumpulan Y, Wilayah Persekutuan berjaya mengatasi Sabah 2-0 hasil jaringan Nor Farida Sulaiman dan Kirandeep Kaur pada suku keempat.