PELUMBA basikal kategori I ‘downhill’ Wilayah Persekutuan, Nur Liyana Fazlien Sha’are tekad mahu menyumbang satu pingat kepada kontinjen Wilayah Persekutuan dalam aksi terakhir dirinya dalam Sukma.

Dia yang mesra disapa Lyn itu mula menceburi bidang berbasikal dalam kategori BMX sebelum beralih ke kategori downhill kerana lebih sesuai dengan minatnya yang terarah kepada sukan motocross.

Meskipun mempunyai persiapan yang singkat, Liyana Fazlien tetap yakin mampu menyumbang pingat tetapi tidak berjanji warna apakah pingat yang bakal disumbangkan olehnya kali ini.

Aksi Liyana Fazlien ketika Sukma 2016

“Saya mula menceburi bidang berbasikal dalam kategori BMX dengan pasukan Sukma Terengganu pada 2014 tetapi saya tidak bersaing dalam Sukma ketika itu.

Pada Sukma 2016 saya mewakili pasukan Melaka dan bersaing dalam kategori BMX dan mendapat pingat gangsa serta pada masa yang sama mula melibatkan diri dalam kategori downhill namun tidak mendapat pingat.

Sukma 2022 kali ini bakal menjadi Sukma terakhir saya dan kini bersama pasukan Wilayah Persekutuan untuk kategori downhill kerana sudah tinggal di Kuala Lumpur.

“Kebelakangan ini saya lebih fokus pada sukan motocross dan atas sebab itu saya mimilih untuk bersaing dalam kategori downhill kerana ianya adalah sukan yang hampir sama kepada motocross. Saya menyasarkan untuk melakukan yang terbaik dan cuba menyumbang pingat kepada Wilayah Persekutuan.

“Dengan latihan yang cukup minimum dan singkat saya akan cuba sumbangkan pingat kepada pasukan dan juga diri saya sendiri dalam penampilan Sukma terakhir ini,” katanya ketika ditemubual Flash Sukan.

Acara berbasikal downhill ini akan berlangsung pada 22 dan 23 September 2022 di Taman Cabaran Putrajaya dengan dua emas ditawarkan bagi kategori lelaki dan wanita.