SEORANG pelumba drag maut ketika menyertai perlumbaan drag Battle of The Kings di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak pada Sabtu.
Mangsa dikenali sebagai Apeh Jamal atau nama sebenarnya Muhamad Hafez Jamal Jamaludin, 39, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika perlumbaan.
Perlumbaan dihentikan serta-merta selepas seorang pesertanya maut ketika perlumbaan.
Kejadian itu dimaklumkan oleh penganjur BOTK 2022, MUSC Motorsport menerusi laman sosial Facebook rasminya.
Sementara itu, legenda lumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid menyifatkan satu berita sedih buat sukan permotoran Malaysia.
“Sad news untuk sukan permotoran negara. Al-Fatihah untuk arwah dari Ipoh yang terlibat dalam kemalangan di litar Kuala Terengganu sebentar tadi.
“Arwah berjasa kepada team Motowazi dengan menyediakan pusat operasi di Ipoh sejak tahun 2009 sehingga kini.
“Jasa arwah menyumbang kepada kami dalam menjalankan operasi kempen ke seluruh negara. Moga arwah ditempatkan di dalam taman-taman syurga,” katanya menerusi Facebook.