SETIAP pasukan yang menyertai Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2024 di Kuala Lumpur Mei depan bakal meraih mata ranking buat kali pertama.
Perkara itu dijanjikan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dalam usaha badan induk sepak takraw dunia terbabit, menaikkan taraf sukan yang kini sedang dilobi ke pihak Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC).
Setiausaha Agungnya, Datuk Abdul Halim Kader berkata, pihaknya akan menubuhkan satu pasukan petugas khas (special task force) untuk mengkaji kaedah mata ranking yang akan dianugerahkan kepada pasukan yang mengambil bahagian pada kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, 18 hingga 26 Mei depan.
“Ya saya tahu setakat ini kita belum ada butiran ciri-ciri (mata) ranking yang akan diketengahkan. Kita akan ambil contoh daripada bola sepak, bola tampar atau sukan-sukan lain.
“Apapun sistem mata ranking tetap akan diperkenalkan di KL (Piala Dunia Istaf), kalau kita katakan sebagai juara dunia dia akan dapat berapa mata, semua itu akan dikemaskini kemudian.
“Sebuah jawatankuasa bertindak task force akan dibentuk Istaf untuk memperkenalkan pengiraan mata dan bagaimana diimpliment di KL nanti,” kata Abdul Halim, dalam satu sesi temu bual di Restoran Hameediyah di Bukit Bintang.
Dengan kejohanan kurang tiga bulan untuk dianjurkan, masa untuk pasukan petugas khas yang belum dibentuk itu pastinya terhimpit dengan kekangan masa, apa lagi pelancaran logo kejohanan akan dilancarkan Jumaat ini.
“Selepas pelancaran juga tidak menjadi masalah bagi ktia, kita boleh kemaskini.
“Paling penting kita tak boleh terburu-buru dan ada masa kira-kira 3 bulan lagi sebelum kejohanan bermula.
“Kita juga sudah memaklumkan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian mengenai perkara ini,” tambah Abdul Halim lagi.
Dalam pada itu, Abdul Halim turut menegaskan Piala Dunia Sepak Takraw Kuala Lumpur 2024 dijamin mutu pengadilan terbaik.
Selain barisan pengadil dari seluruh negara peserta dikenalpasti, pihaknya juga sudah mengumpul 20 hingga 30 pengadil bertauliah Malaysia untuk mengadili kejohanan terbabit.
“Kami akan mengambil pengadil dari seluruh negara yang boleh memberikan wakil terbaik, baik di peringkat Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) mahupun Istaf.”