KETERUJAAN para penyokong Terengganu FC untuk memberikan sokongan padu kepada skuad Peteh menentang Sri Pahang jelas terlihat apabila hampir 12,000 keping tiket telah dijual secara dalam talian setakat jam 12 tengah hari.

Angka ini dijangka meningkat apabila jualan tiket fizikal telah dimulakan di kaunter Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan para penyokong pastinya mahu menjadi saksi kejayaan Terengganu FC mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Meskipun kelihatan sudah sebelah kaki di suku akhir namun ianya tidak melunturkan semangat para penyokong untuk hadir ke stadium memberikan sokongan kepada Terengganu.

 

Skuad kendalian Nafuzi Zain itu kini berada pada tahap prestasi terbaik apabila mencatat enam kemenangan berturut-turut selepas tewas di final Piala FA dan mereka kini selesa mendahului dengan aggregat 5-1 selepas menang aksi pertama di Kuantan.

Hatrik dari Kpah Sherman, lanjutan kontrak Nafuzi Zain dan Faiz Nasir adalah antara berita baik yang mendorong rasa suka dan senang hati di kalangan para penyokong yang sememangnya dari awal menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi.

Pastinya satu atmosfera yang menarik bakal dihadirkan di Gong Badak dan suasana ini pastinya dapat membantu menaikkan semangat para pemain TFC untuk memberikan satu aksi yang menarik buat sebagai satu hadiah buat para penyokong.