SEKILAS pandang, pengunduran Chan Peng Soon dan Cheah Yee See dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuatkan sektor beregu di bawah kendalian badan induk badminton negara itu, cukup mentah.
Namun bagi Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky, hal itu tidak benar kerana lapan pemain yang tinggal di sektor itu juga sudah mempunyai tapak dalam ranking dunia.
Justeru, Rexy enggan menekan butang panik kerana tiba masanya untuk fokus kepada barisan pemian muda, yang mempunyai masa depan untuk jangka panjang.
“Sekarang ini kita ada beberapa pemain muda yang boleh digilap bakat mereka malah mungkin akan melihat pasangan lelaki bagi menentukan hala tuju mereka kelak.
ARTIKEL BERKAITAN:
BAM hilang tiga pemain beregu campuran, Peng Soon -Yee See ucap selamat tinggal
“Dia bertuah lahir dengan genetik lengkap”, status IG Peng Soon jadi tanda tanya
“Ada khabar angin yang mengatakan beregu campuran tidak mendapat perhatian, sebenarnya kita sudah ada perancangan terutamanya melahirkan satu atau dua pasangan mewakili negara ke Olimpik, sama ada 2024 ataupun 2028,” katanya.
Mengikut rekod, terdapat beberapa pasangan beregu campuran dalam pembikinan yang dilihat berpotensi mencipta keputusan positif di kejohanan antarabangsa.

Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei, melonjak dua anak tangga ke ranking 37 dunia, dalam senarai ranking BWF yang dikemaskini 31 Oktober lalu.
Gandingan Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei kini berada di ranking ke-37 dunia dan menjadi pasangan terbaik untuk diketengahkan bagi mendapatkan mata ranking kelayakan ke Olimpik Paris, 2024.
Selain Pang Ron dan Ee Wei, BAM mempunyai enam lagi pemain dalam sektor beregu campuran iaitu Chen Tang Jie, Yap Ling, Choong Hon Jian, Go Pei Kee, Loo Bing Kun dan Yap Cheng Wen.
Bagi Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, pihaknya yakin dengan program kendalian Rexy.
Beberapa hari lepas, BAM mengesahkan Peng Soon dah Yee See meninggalkan badan induk badminton negara itu berkuatkuasa 30 November.