PENGUNDURAN diri Chan Peng Soon dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetap satu kerugian buat negara, apatah lagi atlet berusia 34 masih berada pada tahap kecergasan yang tinggi.
Hal itu diakui Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Dr Tim Jones yang memantau rapat tahap kecergasan pemain di bawah payung badan induk badminton negara itu.
Beliau menyifatkan Peng Soon sebagai insan bertuah yang lahir dengan genetik lengkap sebagai atet.

Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Dr Tim Jones sifatkan Chan PEng Soon mempunyai genetik atlet yang sempurna
“Dia bertuah mempunyai genetik yang baik dalam badan, kebolehan melakukan lompatan dan berlari dengan sangat baik ketika di gelanggang.
“Mungkin pada usia ini, dia menjangka pergerakannya akan menjadi lebih perlahan tapi dengan pengalamannya, dia masih mampu mencari sudut gelanggang untuk memerangkap lawan,” kata Jones kepada FLASH SUKAN.
Katanya, ketika pihaknya melakukan ujian kecergasan pada September lalu, dan mendapati tahap kecergasan Peng Soon masih tinggi dan sehebat pemain muda.

Hantaran status Instagram Chan Peng Soon mengundang tanda tanya
Sementara itu, Peng Soon dalam satu hantaran di laman Instagramnya “pschan88” berkata, sebagai atlet professional, hala tujunya tidak berubah.
“Mengambil kira factor usia dan kondisi badan, saya perlu menjalani kaedah latihan berbeza, begitu juga strategi dan sebagai badan indu badminton negara (BAM) mereka perlu melabur kepada pemain muda.
“Kira-kira 11 bulan lalu, saya buat keputusan untuk kembali keapda keluarga besar pasukan kebangsaan (BAM), saya bersyukur kerana diterima,” kata Peng Soon lagi.
Bagaimanapun tiada petanda menunjukkan Peng Soon akan bersara daripada bermain badminton sebaliknya, dia mungkin meneruskan kerjaya di pentas antarabangsa sebagai pemain professional menerusi ayat di instagramnya “I will continue to grow my badminton career in a new direction”.