CALON jurulatih tambahan bagi skuad beregu lelaki negara masih belum diputuskan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meneliti pilihan terbaik bagi memperkukuh barisan kejurulatihan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan melantik jurulatih tempatan, namun calon berkenaan perlu memiliki kualiti tinggi setaraf piawaian antarabangsa.

Katanya, keputusan berhubung lantikan itu hanya akan dibuat selepas perbincangan menyeluruh bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky dan barisan kejurulatihan lain.

“Saya baru dilantik dalam jawatankuasa prestasi dan belum berbincang dengan semua jurulatih, jadi perkara ini akan dibawa ke mesyuarat seterusnya,” katanya.

Herry IP kini hanya dibantu Miftakh, mengemudi latihan beregu lelaki elit yang kini dibarisi 10 pemain.

Menurut Chong Wei, BAM mahu memastikan setiap jurulatih yang dipilih benar-benar mampu membantu pemain mencapai tahap konsistensi dan prestasi maksimum dalam kejohanan utama dunia.

Minggu lalu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh mengesahkan Rexy memohon penambahan jurulatih beregu lelaki bagi menampung keperluan 10 pasangan di bawah skuad elit ketika ini, yang hanya bergantung kepada dua jurulatih, Herry Iman Pierngadi dan Muhammad Miftakh.