CHAN Peng Soon dan Cheah Yee See sah meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengiringi langkah Peck Yen Wei yang menghantar surat pengunduran dari badan induk badminton negara, Selasa lalu.

Pengumuman mengenainya dibuat Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky.
Menurut Rexy, pihaknya menerima surat pengunduran Peng Soon dan Yee See kelmarin.

“Ada perbincangan dibuat tapi Peng Soon tetap dengan pendiriannya dan mempunyai perancangan sendiri,” kata Rexy dalam sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang turut dihadiri Setiausa Agung BAM Dato Kenny Goh dan Pengarah Prestasi Tinggi Tim Jones.

Rexy berkata, episod kekalahan demi kekalahan dialami Peng Soon-Yee See sejak digandingkan selama kira-kira tujuh bulan menyebabkan mereka akur dengan menghantar surat pengunduran, sekali gus membuka ruang buat pemain muda.

Sidang media khas BAM mengenai pengunduran Chan Peng Soon-Cheah Yee See dari badan induk dunia itu.

Tambah Rexy, Peng Soon, 34, sudah memberitahunya sebelum menyertai kejohanan Terbuka Denmark dan Perancis bahawa prestasi di Eropah itu bakal menjadi penentu masa depannya.

Sementara itu Yee See, 28, menghantar surat pengunduran pada hari yang sama, bersetuju mempertimbang saranan BAM kerana Rexy sudah mempunyai perancangan untuk mencari gandingan baharu buatnya.

Pengunduran dua pemain itu berkuatkuasa 30 November ini.

Rexy Mainaky mahu fokus kepada gandingan muda

Namun tanpa disangka, ketika sidang media berlangsung pagi tadi, pihak BAM menerima pengesahan bahawa Yee See kekal mahu meninggalkan badan induk badminton negara itu.

Sementara itu, Kenny berkata, BAM amat menghargai sumbangan kedua-dua pemain itu terutamanya Peng Soon.

“Kami hargai sumbangan Peng Soon, banyak membantu pemain muda tapi sayang, dia ada perancangan sendiri. Dia mempunyai akademi sendiri,” kata Kenny.
Difahamkan Peng Soon akan membuka akademi badminton ketiganya di Kuala Lumpur.

Sebelum ini CPS Badminton Academy sudah dibuka di Butterworth dan Bukit Mertajam.

Setiausaha Agung BAM Dato Kenny Goh yakin dengan perancangan Rexy

Pada Terbuka Denmark, Peng Soon-Yee See tersingkir di pusingan pertama apabila tewas kepada pemain Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo.

Manakala di Terbuka Perancis, gandingan itu tewas di pusingan pertama kepada gandingan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Terdahulu, pada beberapa hari lalu, seorang lagi pemain beregu campuran, Peck Yen Wei meninggalkan BAM atas alasan dihimpit kecederaan berulang.