PEMAIN pasukan Portugal nyata berang dengan pemilihan pengadil yang mengadili perlawanan suku akhir Piala Dunia FIFA Qatar 2022 yang dianggap memberikan kelebihan buat Argentina untuk muncul juara.
Ini selepas Portugal tewas kepada Maghribi 1-0 sekaligus tersingkir dari kejohanan yang menyaksikan ketua pasukan, Cristiano Ronaldo menangis sejurus wisel penamat dan ketika berjalan masuk ke bilik persalinan.
Perlawanan itu dikendalikan pengadil Argentina dengan Facundo Tello menjadi pengadil utama manakala Ezequiel Brailovsky dan Gabriel Chade menjadi penjaga garisan.
— FIFA Media (@fifamedia) December 8, 2022
Turut membantu tiga pengadil itu adalah Mauro Vigliano sebagai pengadil VAR serta Diego Bonfa sebagai pengadil offsaid VAR yang mencetuskan pertanyaan di kem Portugal.
Pemain tengah dan pertahanan, Bruno Fernandes serta Pepe secara terang-terangan mengkritik pemilihan pengadil ini dan berpendapat ianya tidak tepat memandangkan Argentina masih lagi beraksi di peringkat yang sama.

“Saya tidak tahu jika mereka mahu memberikan piala ini kepada Argentina. Saya tidak peduli dan saya akan katakan apa yang saya rasakan. Ianya sesuatu yang pelik apabila kami diadili oleh pengadil yang pasukan negaranya masih beraksi di kejohanan ini. Mereka juga dilihat berat sebelah terhadap kami,” kata Bruno Fernandes.
Kenyataan Bruno disokong pemain veteran, Pepe yang turut menganggap pengadil mengganggu rentak permainan apabila sering menghentikan perlawanan dan ini adalah keputusan yang pelik.

“Kami mendominasi perlawanan 100 peratus pada setiap masa dan ini adalah pengadil dari Argentina. Selepas apa yang diperkatakan oleh Messi, ianya kelihatan sangat pelik. Kami tidak mampu bermain pada separuh masa kedua kerana pengadil sentiasa menghentikan perlawanan,” tegasnya selepas perlawanan.
Kekalahan kepada Maghribi itu menyaksikan pasukan utara Afrika itu mencipta sejarah muncul pasukan Arab pertama layak ke separuh akhir Piala Dunia dan akan berhadapan penyandang juara, Perancis pada Rabu.