CRISTIANO Ronaldo sentiasa mendedikasikan dirinya sebagai sebahagian daripada pasukan kebangsaan Portugal meskipun sudah tersingkir dari Piala Dunia, namun tidak pasti masa depannya bersama pasukan kebangsaan itu.

Penyerang berusia 37 tahun yang juga pemenang lima kali Anugerah Ballon d’Or, tiba di Qatar dengan misi membuktikan dirinya masih mampu membawa perbezaan dalam pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun, dia mengakhiri kejohanan dengan tampil sebagai pemain gantian di babak kedua ketika Portugal tewas 1-0 kepada Maghribi, perlawanan yang turut menyaksikan bintang itu menitiskan air mata.

“Saya hanya mahu anda tahu, sudah banybak dipperkata, sudah banyak ditulis, bermacam-maca spekulasi, tapi dedikasi saya kepada Portugal tidak pernah berubah walau sesaat,” kata Ronaldo menerusi status Facebooknya.


“Saya sentiasa menjadi seorang yang berjuang untuk gol semua orang dan saya tak pernah berpaling daripada rakan sepasukan dan negara saya.”

Biarpun Portugal sudah tersingkir, Ronaldo masih mampu melakar sejarah apabila menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam setiap lima Piala Dunia, selepas melakukan jaringan ketika menentang Ghana pada perlawanan pembukaan kumpulan.

Sebelum Piala Dunia bermula, dia enggan mengatakan yang kejohanan di Qatar menjadi penampilan terakhirnya malah menegaskan dia bersedia untuk menghadapi Euro 2024.

Catatan Facebooknya pada hari Ahad, bagaimanapun, berakhir dengan nada yang samar-samar: “Buat masa ini, tidak banyak lagi yang boleh dikatakan. Terima kasih, Portugal. Terima kasih, Qatar. Mimpi itu indah semasa ia berlangsung… Sekarang, kita perlu biarkan ‘cuaca’ menjadi penasihat yang baik dan membolehkan semua orang membuat kesimpulan mereka sendiri.”

Sebelum ini, masa depan Ronaldi bersama kelab menjadi persoalan sejak Manchester United menamatkan kontraknya dua hari selepas Piala Dunia bermula.

Laporan di Sepanyol mendakwa bekas penyerang Real Madrid dan Juventus itu akan menyertai Al Nassr dari Arab Saudi tetapi Ronaldo bagai menafikannya. -Agensi

 

Artikel berkaitan:

Maghribi singkir Portugal , lakar sejarah ke separuh akhir kali pertama Piala Dunia

PSG terus terang ‘reject’ Ronaldo