PEMAIN baharu Kedah Darul Aman FC, Lee Tuck mendedahkan dia sanggup untuk mengurangkan gaji untuk terus kekal bersama Sri Pahang FC namun sebaliknya berlaku selepas tiada kata sepakat dicapai.
Beraksi dibahagian tengah, dia secara jujur mengakui masih ingin terus kekal bersama Tok Gajah dengan melakukan perbincangan berkaitan kontrak baharu dan gaji.
“Sejujurnya kami ada berbincang dengan Sri Pahang dan saya sememangnya mahu kekal bersama kelab itu. Saya sanggup potong gaji, tapi malangnya kami tidak mencapai kata sepakat.
“Saya fikir Sri Pahang kelab yang hebat, tapi saya ada kerjaya dan keluarga, hidup perlu diteruskan. Sekarang saya fokus kepada pasukan kebangsaan.
“Kami harus menumpukan kepada aksi penting berdepan Singapura dan berharap kami dapat meneruskan kemaraan,” katanya.
Lee Tuck yang merupakan pemain naturalisasi Harimau Malaya kini mempunyai tugasan bersama skuad kebangsaan di Piala AFF 2022 dengan Harimau Malaya akan mengharungi aksi wajib menang dalam perlawanan terakhir Kumpulan B berdepan Singapura.