Negeri Sembilan FC (NSFC) kini berada dalam fasa memperkukuh pembangunan pemain tempatan menerusi penyertaan pasukan kedua mereka dalam saingan Liga A1 Semi-Pro musim hadapan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus berkata, langkah tersebut bertujuan mempercepatkan proses kematangan pemain muda tempatan sebelum mereka diserapkan ke dalam skuad utama.
“NSFC juga dalam fasa membentuk pasukan Liga A1 bagi mempercepat proses kematangan pemain tempatan. Kebergantungan kepada pemain asing pastinya akan dikurangkan dari semasa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya.
Tambah beliau, penyertaan NSFC II dalam liga tersebut dilihat sebagai platform terbaik untuk memberi pendedahan kompetitif kepada pemain bawah 23 tahun dalam usaha mengembangkan potensi mereka di peringkat lebih tinggi.
Saingan Liga A1 Semi-Pro turut menampilkan beberapa pasukan pembangunan lain termasuk Johor Darul Ta’zim FC II, Selangor FC II dan Imigresen FC II yang masing-masing memberi ruang kepada pemain muda menimba pengalaman dalam suasana kompetitif.
Dalam perkembangan sama, NSFC turut melakukan penstrukturan semula terhadap skuad pembangunan apabila pasukan bawah 18 tahun (B-18) akan dijenamakan semula sebagai NSFC III.
Pasukan itu dijadual beraksi dalam kejohanan Piala Presiden (B-20) sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang kelab untuk melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang berpotensi menyarung jersi skuad utama pada masa hadapan.
Sumber Grafik: Nogori Supporters