PASUKAN Kuching City FC mengesahkan tiket ke final Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah selepas menewaskan Selangor FC 1-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Kuching.
Kedua-dua pasukan turun dengan misi memburu kemenangan selepas terikat 1-1 pada perlawanan pertama, sekali gus menjadikan aksi timbal balik berlangsung sengit sejak wisel permulaan.
Selangor yang mempertaruhkan Vitor Pernambuco selaku peledak utama cuba menguasai permainan, namun tuan rumah kekal tenang menyerap tekanan selain memanfaatkan peluang yang hadir.
Kuching City berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-30 menerusi Petrus Shitembi yang melepaskan rembatan jarak jauh untuk menewaskan penjaga gol lawan, sekali gus memberikan kelebihan kepada pasukan tuan rumah.
Memasuki separuh masa kedua, Selangor terus meningkatkan asakan dalam usaha mencari gol penyamaan, namun situasi bertambah sukar apabila kapten mereka, Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah pada minit ke-52 selepas semakan VAR.
Tekanan terus memuncak buat skuad Merah Kuning apabila seorang lagi pemain, Mukhairi Ajmal turut diperintahkan keluar padang pada minit ke-63 susulan terjahan keras.
Walaupun beraksi dengan sembilan pemain, Selangor tetap berusaha memburu gol penyamaan, namun keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.
Kemenangan itu menyaksikan Kuching City melakar sejarah mara ke final Piala Malaysia buat kali pertama dan bakal berdepan Johor Darul Ta’zim dalam perebutan kejuaraan.